Bukan Campur Tangan Kerajaan : Khairy

Foto Berita Harian
PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tampil mempertahankan tindakannya menyerahkan pendrive kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat lalu.

Malah, dia memberi jaminan pembabitan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta SPRM dalam isu pendrive FAM tidak melanggar peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana ia membabitkan isu rasuah.

"Campur tangan kerajaan seperti dengan pemilihan dan polisi FAM tapi bila ada kaitan dengan tuduhan rasuah maka ia perlu disiasat.

"Ramai yang lantang membangkitkan isu pendrive ini, namun FIFA dan FAM kenalah faham bahawa kita juga faham apa yang kita buat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan tajaan daripada Nestle Malaysia Berhad menerusi produknya Milo untuk Sukan SEA 2017 dan Sukan Para ASEAN ke-9 di Kementerian Belia dan Sukan, di sini sebentar tadi.

Reaksinya itu sebagai mengulas tanggapan sesetengah pihak yang menganggap campur tangan KBS dan SPRM dalam isu itu boleh dianggap sebagai campur tangan kerajaan.

Ini kerana situasi itu boleh menyebabkan FAM digantung seperti yang termaktub dalam peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) perkara 14 dan 17.

Peraturan itu menerangkan ahli gabungan FIFA perlu menyelesaikan sendiri masalah mereka secara dalaman tanpa campur tangan pihak ketiga.

Sementara itu, Nestle diumumkan sebagai penaja perak untuk Kuala Lumpur 2017 apabila bersetuju menaja wang tunai sebanyak RM 700,000, tajaan produk RM 500,000 dan lebih RM 6 juta untuk tujuan pemasaran. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA