Budak Lumpuh Perlu Bantuan


PASIR MAS: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun terlantar kerana lumpuh selepas menghidap demam panas, tiga tahun lalu.

Nor Damia Daniela Abdullah yang dijaga neneknya, Dawiah Che Mat, 62, pada awalnya dikesan menghidap Cerebral Palsy (kelumpuhan otak) ketika berusia setahun.

"Saya menjaga cucu kerana ibu Damia terpaksa bekerja kilang di Johor selepas berpisah dengan suaminya untuk mencari wang bagi menanggung keperluan anaknya iaitu kira-kira RM500 sebulan. Setiap bulan wang yang diberikan akan diguna untuk membeli susu dan lampin.

"Oleh kerana tidak mampu beli susu khas yang agak mahal, saya terpaksa menukar kepada susu biasa untuk Damia. Saya sedih melihat badan cucu yang semakin kecil, namun saya tetap akan menjaganya selagi mampu.

"Selepas diserang demam panas, Damia hanya mampu terbaring dengan keadaan kaki yang bersilang dan menyukarkan saya untuk menguruskannya. Saya terpaksa menggunakan kudrat yang ada untuk mengangkat Damia setiap kali mandi.

"Damia hanya bergantung dengan susu yang dimasukkan dengan tiub saluran makanan melalui hidung yang perlu ditukar setiap dua minggu sekali. Kami menolak cadangan doktor untuk menebuk bahagian perutnya untuk saluran makanan kerana bimbang berlaku jangkitan kuman.

"Kami terpaksa berulang-alik ke Hospital Pasir Mas untuk menukar tiub dan ia menyukarkan kami kerana tidak ada kenderaan sendiri," katanya yang tinggal di Rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Dawiah berkata, cucunya itu menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan Damia.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA