Britain bina tembok 3.9 meter sekat pendatang

foto AFP
LONDON: Britain memulakan usaha membina tembok di pelabuhan Calais di utara Perancis bagi menghalang pendatang menyeberang menggunakan trak, menurut perjanjian yang dipersetujui awal tahun ini, kata Kementerian Dalam Negeri pada Rabu.

Tembok setinggi empat meter dan sepanjang satu kilometer itu akan dibina di atas jalan menuju ke pelabuhan bermula bulan ini dan dijangka siap menjelang akhir tahun.

Ia, yang akan dibiaya kerajaan Britain menurut perjanjian ditandatangani Mac lalu akan melengkapkan pagar keselamatan yang sudah didirikan sekitar pelabuhan dan pintu masuk ke Terowong Channel.

"Kami akan membina tembok baru tidak lama lagi. Kami sudah siap membina pagar, kini akan membina tembok," kata Menteri Rendah Robert Goodwill kepada jawatankuasa Parlimen pada Selasa.

Tembok berkenaan, dijangka menelan belanja AS$3 juta (RM12 juta), akan menjadi penghalang terbaru dibina sekitar Eropah ketika benua itu bergelut dengan kebanjiran pendatang terbesar dalam masa beberapa dekad.

Hungary membina pagar di sempadannya dengan Serbia dan Austria mengumumkan rancangan mendirikan pagar besar sepanjang sempadannya dengan Hungary dalam usaha menutup laluan pendatang di Balkan.

Pembinaan tembok di Calais dipersetujui berikutan puluhan ribu cubaan menyeberangi Channel tahun lalu menggunakan trak yang dibawa menaiki feri dan Eurotunnel. - AGENSI

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA