Bom aktif dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua ditemui


MIRI: Seorang pekerja terkejut apabila mendapati sebutir bom berada dalam longgokan besi buruk sedang dialih ketika melakukan kerja pembersihan di sebuah pusat pengumpulan besi buruk di Taman Tunku di sini petang kelmarin.

Bom itu dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua telah dijumpai sekitar jam 1.30 petang.

Terdahulu, pekerja terbabit sedang melakukan tugas rutin membersihkan kawasan longgokan besi buruk, apabila tiba-tiba ternampak satu objek seperti besi berbentuk bujur.

Setelah diamati, baharu dia menyedari objek itu merupakan sebutir bom.

Berikutan itu, dia segera memaklumkan majikannya berhubung penemuan tersebut dan seterusnya menghubungi talian kecemasan 999.

Pemangku Ketua Polis Daerah Miri, Superintenden Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan penemuan tersebut.

Sehubungan itu katanya, sepasukan anggota dari Unit Pemusnah Bom (UPB) yang bergegas ke lokasi penemuan kemudian mengesahkan bom tersebut adalah jenis UOX Mortar 110 seberat lebih 20kg.

“Pada jam 4.17 petang, pihak UPB telah mengalihkan bom itu yang masih aktif ke kawasan lapang sasar di Lambir dan dimusnah dengan selamat pada jam 5.20 petang,” katanya.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA