BN Selaras Pandangan Berhubung Persempadanan Semula



KUALA LUMPUR: Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini memutuskan untuk menyelaras perbezaan pandangan semua parti komponen berhubung kajian semula persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, jawatankuasa yang dianggotai semua setiausaha agung parti komponen itu dipengerusikan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Banyak perkara dibincangkan dalam mesyuarat hari ini tetapi kita memberikan keutamaan dalam soal persempadanan baharu yang dipamerkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"BN termasuk juga UMNO ada pendapat yang berbeza dengan cadangan awal SPR kerana ada banyak kesan dan implikasi yang perlu diambil kira dari beberapa aspek.

"Oleh itu mesyuarat memutuskan supaya BN termasuk UMNO dan semua parti komponen akan menyelaras pandangan cadangan kita melalui sebuah jawatankuasa bagi menyelaras cadangan balas BN kepada SPR... Mudah-mudahan akan dapat satu keputusan yang adil kepada semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn, di sini. SPR mempamerkan cadangan semula persempadanan kerusi Parlimen dan DUN bagi Semenanjung dan Sabah bermula 15 September lalu hingga 14 Oktober ini.

Sementara itu, Najib berkata, mesyuarat hari ini juga melantik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Pengerusi BN yang baharu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras Fasal 8(3)(b) Perlembagaan BN.

"Usul pelantikan ini dicadang oleh MCA dan disokong MIC dan diterima sebulat suara," katanya.=BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA