BN Sarawak Sudah Bersedia Jika PRU Mac 2017


KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah bersedia jika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diadakan lebih awal iaitu pada Mac 2017.

Setiausaha Agung BN Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata jentera pilihan raya negeri masih aktif malah lebih kuat selepas Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11), 7 Mei lepas.

“Perdana Menteri sebagai Pengerusi BN pusat mempunyai hak mutlak untuk menentukan bila pilihan raya umum akan diadakan.

“Malah jika ia berlangsung lebih awal seperti spekulasi pada Mac depan, jentera kita di peringkat negeri sudah bersedia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, terdapat spekulasi bahawa Perdana Menteri mungkin mengadakan pilihan raya tahun depan sebelum pembangkang bersatu dan mengap-apikan semangat patriotik ketika ulang tahun kemerdekaan ke-60 tahun depan.

Sementara itu penganalisis politik, Datuk Peter Minos berkata, parti memerintah iaitu BN mempunyai keistimewaan memilih masa sendiri bagi mengadakan pilihan raya berdasar peluang dan situasi terbaik.

Katanya, apa yang pasti, UMNO mencari masa terbaik dan ia boleh jadi ketika parti baharu diketuai mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih belum bersedia atau ketika UMNO sudah bersedia.

“Sekarang masa untuk UMNO menilai situasi dan angin politik sebelum membuat keputusan mengenai bila PRU wajar diadakan.

“Pada padangan saya, indikasi menunjukkan bahawa Perdana Menteri mungkin mengadakan pilihan raya lebih awal adalah sekadar mengingatkan ahli-ahlinya supaya tidak leka,” katanya.

Memetik kenyataan seorang pemimpin bahagian UMNO negeri selatan dari sebuah portal berita online semalam berkata, “Mac telah diperkatakan dan mengapa tidak? Pembangkang tidak bersama dan kami bersedia untuk pilihan raya,” katanya.

Seorang lagi pemimpin bahagian UMNO dari negeri lain turut memberitahu Bloomberg bahawa bulan Mac adalah tarikh sedang diperbincang.

Bloomberg melaporkan bahawa Perdana Menteri dan pegawai kanan UMNO menjadi tulang belakang BN telah menegur ahli-ahlinya untuk mengadakan perjumpaan dengan pengundi berpotensi terutama golongan muda - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA