Bidayuh Digesa Sokong Projek Dokumentasi NCR


SERIAN: Komuniti Bidayuh digesa terus menyokong projek dokumentasi tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) inisiatif Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) sejak 2007.

Ketua Penasihat DBNA Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata ini kerana amat penting untuk generasi muda Bidayuh mengetahui lokasi tanah nenek moyang mereka serta menyelesaikan pertikaian membabitkan ahli keluarga mengenai persempadanan tanah.

Beliau juga berikrar akan terus memastikan lebih banyak tanah didokumentasikan oleh DBNA bagi membolehkan surat hak milik tanah dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

“Selagi anda terus menyokong inisiatif ini dan memberi kerjasama , DBNA akan memastikan lebih banyak tanah didokumentasi.

“Sebagai menteri penuh (negeri) mewakili komuniti Bidayuh, saya akan mengambil langkah susulan dengan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) agar tanah-tanah (NCR) disukat seterusnya dikeluarkan geran tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah kepada 26 kampung di bahagian Serian di Dewan Masyarakat Serian semalam.

Manyin yang juga Menteri Belia, Sukan dan Solidariti berkata sepatutnya tiada masalah untuk tanah NCR di kawasan Bidayuh dikeluarkan surat hak milik kerana rata-rata daripadanya diusahakan dengan pertanian oleh komuniti itu sebelum 1 Januari 1958.

Beliau memberitahu, DBNA memulakan inisiatif itu pada 2007 selepas satu persetujuan dicapai dalam satu mesyuarat dengan Ketua Menteri sebelum ini (kini Yang di-Pertua Negeri) Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Di bawah persetujuan itu, DBNA akan membantu melakukan pendokumentasian sebelum JTS melakukan sukatan sebenar seterusnya mengeluarkan geran.

Menjelas lanjut, Manyin berkata pendokumentasian dilakukan DBNA menggunakan kaedah sama digunakan oleh JTS tetapi hanya pihak berkuasa kerajaan boleh mengeluarkan surat hak milik tanah.

Setakat ini, katanya DBNA telah mendokumentasi di Kampung Pisa, Krokong dan Kampung Skuduk (Tapah) dan tidak lama lagi di Kampung Grogo dan Kampung Sibuluh (Bau).

“Rakyat hari ini lebih menerima dan memahami inisiatif ini dan saya berterima kasih kepada mereka atas sokongan diberikan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu itu menggalakkan komuniti Bidayuh menanam tanaman tuaian di atas tanah mereka, untuk mempertahankan pemilikan ke atas tanah mereka dan pada masa sama memberi pendapatan sampingan.

“Kita Bidayuh dianggap bertuah kerana kawasan kita kini dihubungkan dengan jalan raya, memudahkan hasil tanaman dipasarkan dari ladang ke pasar atau terus kepada pembeli,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Projek Dokumentasi NCR-DBNA Bahagian Serian Charlie Ungang berkata 54 kampung di bahagian itu terlibat dalam inisiatif berkenaan.

Ia katanya, termasuk 26 kampung telah menerima dokumentasi di bawah fasa ketiga inisiatif itu pada majlis berkenaan semalam.

“Lebih banyak kampung dijangka menyambil bahagian dan menerima dokumen masing-masing dalam waktu terdekat ini,” tambah Charlie yang juga naib presiden DBNA.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri John David Nyauh, Residen Serian Dahim Nadot, Pegawai Pejabat Daerah Serian Raymond Achen, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Serian Dr Simon Sinang Bada dan Timbalan Presiden DBNA Boniface Anat. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA