Berhenti Sekolah, Cari Sayur Hutan Untuk Bantu Keluarga


LIMBANG: Disebabkan desakan hidup dan kedua ibu bapa yang sakit, Mohd Sharul Rizdwan,15, terpaksa berhenti sekolah demi untuk membantu keluar mencari pendapatan dengan menjual sayur hutan.

Lebih menyedihkan lagi, adik Sharul, Nurul Amal Umi Shamira berusia 10 tahun juga kerap tidak hadir ke sekolah kerana membantu abangnya mencari sayur hutan.

Ayah kepada dua adik-beradik itu menghidap sakit jantung berlubang manakala ibu mereka mengalami ketumbuhan pada perut dan tidak lagi mampu menjalankan kerja berat.

Menurut Shahrul, keputusan sukar berhenti sekolah dibuat selepas ibu dan bapanya sakit dan kurang mampu untuk bekerja berat lagi.

"Saya kasihan melihat keadaan ibu bapa dan mendorong saya berhenti sekolah untuk mencari sayur hutan untuk dijual," katanya.

Prihatin dengan nasib menimpa keluarga Shahrul dan Nurul, beberapa agensi Islam seperti Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Urusetia Saudara Kita (USK), Tabung Haji Cawangan Limbang dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Tedungan mengunjungi mereka di Kampung Merasam.

Difahamkan TBS akan membantu pemohon dengan bantuan sara hidup bulanan, bantuan rawatan susulan rawatan jantung berlubang dan bantuan keperluan rumah.

Semasa kunjungan tersebut, beg sekolah baharu turut disumbangkan kepada dua beradik tersebut untuk membangkitkan semangat mereka untuk terus bersekolah.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA