Bekalan Tenaga Murah, Selamat Dan Boleh Diperbaharui Perlu Untuk Perindustrian - Adenan


Belaga : Sarawak memerlukan bekalan tenaga yang murah, bersih, selamat dan boleh diperbaharui jika ia mahu menjadi negeri perindustrian, kata ketua menteri Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata perkara itu yang menyebabkan ia memberi penekanan ke atas usaha membangunkan projek hidroelektrik.

"Kita ada projek Batang Ai, Bakun dan sekarang empangan Murum," katanya semasa majlis perasmian empangan Murum yang bernilai RM4.1bilion di Murum dekat ini yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud Selasa.

Beliau berkata usaha memanfaatkan bekalan tenaga melalui projek hidroelektrik dijalankan di seluruh dunia terutama di Sweden, Norway, Afrika dan China.

Di Sarawak, katanya, ia merupakan idea Taib bagi memanfaatkan sungai-sungai yang berpotensi untuk projek hidroelektrik.

Adenan berkata semasa Taib menjadi ketua menteri, beliau juga bertanggungjawab di atas idea yang memberi impak tinggi dan kesan yang meluas bagi merangsang pembangunan dan kemajuan yang lebih besar untuk negeri ini.

Beliau memainkan peranan penting dalam pembentukan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan program pengindustriannya.

"Sekarang, saya rasa di Sarawak, lebih daripada 50 peratus daripada bekalan tenaga elektriknya adalah daripada projek empangan hidronya," katanya.

Perkara ini menjadikannya lebih menarik kepada pelabur dan ahli industri yang memerlukan penggunaan tenaga yang besar.

Sementara itu, Adenan berkata sumber tenaga alternatif perlu diteroka bagi mereka yang tinggal di pedalaman negeri ini yang merupakan kawasan di luar grid.

"Walaupun kita berbangga kerana mengeluarkan tenaga elektrik yang murah, kita tidak boleh lupa mereka yang juga memerlukan bekalan tenaga.

"Kita perlu memikirkan cara dan kaedah untuk membantu mereka agar mereka tidak terus berasa iri hati dengan kita semua," katanya.

Adenan berkata ini disebabkan saiz dan kepelbagaian negeri ini semata-mata sehingga bekalan tenaga tidak boleh dipanjangkan kepada mereka.

Beliau mencadangkan suapaya Sarawak Energy Berhad, yang membangunkan empangan Batang Ai dan Murum dan selepas ini empangan Baleh supaya melihat kepada usaha membangunkan empangan hidro mini dan tenaga solar sebagai alternatif kepada mereka. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA