Bayi Meninggal Dunia Dua Kali


DHAKA: Seorang bayi tidak cukup bulan yang diisytiharkan mati kemudian menangis ketika hendak dikebumikan akhirnya meninggal dunia buat kali kedua semalam.

Kematian Galiba Hayat, 23 minggu disahkan Perunding Pusat Penjagaan Intensif Neonatal (NICU) hospital Square, Aftab Yusuf Raj pada jam 11.45 malam, lapor The Daily Star. 

Menurutnya, bayi seberat hanya 450 gram itu dilaporkan mengalami masalah jantung dan terkena jangkitan. 

"Pakar sudah berusaha sedaya mungkin untuk menyelamatkannya tetapi gagal," katanya. 

Terdahulu, pengamal perubatan itu berkata, pihaknya kagum bagaimana bayi yang mengalami pendarahan di beberapa bahagian tubuhnya masih hidup. 

Bayi itu diletakkan di bawah penjagaannya selepas dimasukkan ke hospital itu kira-kira jam 7.30 petang Sabtu lalu. 

Anak sulung kepada pemain pasukan kriket daerah, Najmul Huda dan isterinya, Naznin Akhter, dilahirkan tidak cukup bulan Khamis lalu di Faridpur, kira-kira 140 kilometer dari Dhaka. 

Dua jam selepas dilahirkan, doktor di sebuah hospital di Faridpur, Rejia Alom mengisytiharkan kematiannya dan kemudian dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan, lapor bdnews24. 

Pihak pengurusan Jahid Memorial Child Hospital di mana bayi itu dilahirkan kini menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat insiden berkenaan. - Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA