Bayi Masih Bertali Pusat Dijumpai Di Perhentian Bas


BUTTERWORTH: Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemukan dalam sebuah beg warna ungu oleh beberapa pelajar sekolah di perhentian bas di Bagan Ajam, Teluk Air Tawar, di sini hari ini.

Jururawat Masyarakat Klinik Desa Bagan Ajam, Sabariah Abdul Ghani, 36, berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang guru memaklumkan beberapa pelajar sekolah berhampiran menemukan seorang bayi perempuan di tempat kejadian.

"Saya tiba di sana kira-kira pukul 8.10 pagi dan mendapati seorang bayi perempuan telah ditinggalkan di dalam beg plastik dan terdapat kesan gigitan serangga di badannya.

"Saya mengagak bayi tersebut sudah 24 jam dilahirkan berdasarkan tali pusatnya yang sudah kering," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, sehelai kain dan uri turut ditemukan bersama-sama bayi perempuan itu sebelum dibawa ke Klinik Desa Bagan Ajam.

"Kami bersihkan dia dan memberinya suntikan mencegah pendarahan yang merupakan prosedur rutin agar bayi berkenaan tidak mengalami sebarang komplikasi yang lain. Bayi itu dalam keadaan selamat dan telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjutan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Azmi Adam berkata, polis sedang melakukan beberapa semakan di klinik dan hospital berhampiran bagi mengesan ibu bayi berkenaan.

"Polis akan menjalankan siasatan lanjut termasuk meneliti sama ada kawasan itu mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan siapa yang meletakkan bayi berkenaan di situ," katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu agar tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - BERNAMA
f

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA