Bayi Disahkan Meninggal Dunia Menangis Ketika Dikebumikan

Gambar Sekadar Hiasan

DHAKA: Bayi perempuan baru lahir di Bangladesh, yang diisytiharkan mati oleh doktor, mula menangis ketika dikebumikan, lapor media pada Ahad.

Galiba Hayat, anak pertama kepada pemain pasukan kriket daerah, Najmul Huda dan isterinya, Naznin Akhter, dilahirkan pada Khamis di Faridpur, kira-kira 140 kilometer dari Dhaka.

Dua jam selepas dilahirkan, doktor di hospital mengisytiharkan kematiannya dan kemudian dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan, lapor bdnews24.

Penjaga kubur meminta keluarga bayi berkenaan kembali pada pagi Jumaat untuk tujuan pengebumian dan bayi berkenaan diletakkan dalam kadbod di situ.

Bagaimanapun, sejurus semua urusan selesai untuk majlis pengebumian, bayi itu mula menangis. Dia segera dikejarkan ke hospital ke hospital berdekatan dan doktor merujuk bayi itu ke Dhaka.

Datuk bayi berkenaan, Abdul Kalam, berkata: "Doktor merujuk dia ke hospital di Dhaka pada Khamis tetapi kami tidak dapat berbuat demikian kerana masalah kewangan."

Namun pada Sabtu, seseorang yang enggan dikenali menyatakan hasrat menanggung kos rawatan bayi dan menguruskan dia dibawa ke Hospital Square di Dhaka dengan helikopter.

Bayi berkenaan dalam keadaan serius kerana dilahirkan ketika berusia 24 minggu dalam kandungan dan cuma seberat 700 gram.

"Dia ditempatkan dalam unit rawatan rapi di Dhaka dan jika mendapat rawatan bagus, kita boleh menjangkakan keputusan yang baik," kata Ketua Paediatrik Hospital Faridpur Sadar, Dr Khondokar Mohamed Abdullah.


- Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA