Bantah persempadanan semula DUN ikut lunas perundangan


KUALA LUMPUR: Wakil rakyat yang tidak bersetuju dengan syor Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung dan Sabah boleh menyuarakan cadangan dan bantahan mengikut saluran perundangan.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun, berkata SPR yang mempunyai kewibawaan dan kredibiliti sebagai badan yang bertanggungjawab menguruskan hal pilihan raya sentiasa mengalu-alukan cadangan pihak lain membabitkan kajian itu.

"Wakil rakyat yang tidak berpuas hati mempunyai hak untuk kemukakan cadangan dan bantahan kepada pihak SPR.

"Saya percaya SPR akan memberi ruang kepada mereka untuk berbuat demikian namun perlu dikemukakan secara rasmi mengikut saluran dan perundangan ditetapkan," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Pameran 70 Tahun MIC, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, R Thinalan; Setiausaha Pemuda MIC kebangsaan, K Arvind dan ahli Jawatankuasa Pusat MIC, K Siva.

Dalam perkembangan lain, Khairul Azwan menyifatkan Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi Chuan Aun, sebagai seorang yang tidak sensitif kerana mempersenda kematian Allahyarham Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din di laman sosial, baru-baru ini.

Katanya, Jeff Ooi perlu meminta maaf secara terbuka kepada keluarga Allahyarham dan rakyat Malaysia amnya atas kenyataan biadabnya itu.

"Apa yang dilakukan Jeff Ooi menunjukkan beliau tidak sensitif terhadap budaya dan agama lain. Kita tahu perkataan 'adios' itu bermakna selamat tinggal, tapi ia tidak sesuai untuk dikatakan kepada mereka yang baru meninggal," katanya.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA