ASEAN Perlu Bersatu Suara Hadapi Pertikaian, Hubungan Dengan Kuasa Besar


VIENTIANE: "Asean perlu bersatu suara terutamanya dalam‎ soal berkaitan pertikaian dan hubungannya dengan kuasa-kuasa besar," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tanpa merujuk secara langsung pertikaian atau hubungan melibatkan mana-mana negara Asean dengan kuasa-kuasa besar, perdana menteri berkata dalam intervensinya semasa Sidang Kemuncak Asean ke-28 dan ke-29, beliau menegaskan betapa pentingnya kepusatan dan kesatuan agar Asean menjadi sebuah badan yang relevan dan berpengaruh.

"Asean kena mampu bersuara sebagai 'one voice' (satu suara), kalau ada percanggahan ini akan melemahkan Asean dalam apa jua, terutamanya dalam soal 'dispute' (pertikaian) dan hubungannya dengan kuasa besar. Maka aspek solidariti amat penting," katanya kepada wartawan Malaysia, di sini, malam ini.

Najib mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak Asean ke-28 dan ke-29 selama tiga hari bermula hari ini, yang turut dihadiri 10 pemimpin Asean termasuk dua ketua negara yang baharu iaitu Presiden Filipina Rodridgo Duterte dan Kaunselor Negara Republik Kesatuan Myanmar, Aung San Suu Kyi.

"Kita berdepan beberapa cabaran untuk mendapatkan kesatuan, oleh itu adalah‎ penting untuk memberi penekanan terhadap kesatuan Asean, kita tidak boleh menjarakkan barisan, jika kita bersatu suara, kita akan menjadi lebih kuat kerana kita bercakap mewakili 630 juta penduduk," kata Najib. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA