Arab Saudi suntik AS$5.3 bilion dalam sistem perbankannya

RIYADH: Bank pusat Arab Saudi mempercepatkan usaha menyokong bank-bank tempatan ketika mana negara itu berdepan cabaran harga rendah minyak.

Agensi Monetari Arab (AMA), nama lain bagi bank pusat negara itu, berkata ia memutuskan untuk memberikan bank sekitar 20 bilion riyal (AS$5.3 bilion) dalam bentuk deposit dengan tempoh matang tertentu "bagi pihak entiti kerajaan." Ia juga memperkenalkan perjanjian pembelian semula tujuh hari dan 28 hari, sebagai sebahagian daripada dasar monetari sokongan.

Kejatuhan harga minyak sejak dua tahun lalu memaksa kerajaan Arab Saudi mengurangkan deposit dalam sistem perbankan negara, memberikan kekangan kepada kecairan domestik.

Ini menolak naik Kadar Tawaran Antara Bank Saudi tiga bulan, penanda aras utama bagi penentuan pinjaman, ke paras tertinggi sejak 2009.

Bank pusat itu berkata, ia sudah menawarkan bank tempatan 15 bilion riyal dalam bentuk pinjaman jangka pendek Jun lalu bagi membantu meningkatkan kecairan dalam sistem perbankan.

Pengumuman itu dibuat ketika mana pengeksport minyak terbesar dunia itu bersedia untuk menjual bon antarabangsa pertama bagi membiayai defisit bajet yang mana Tabung Wang Antarabangsa (IMF) menjangka ia akan mencecah kira-kira 13 peratus daripada pengeluaran ekonomi tahun ini.

Ekonomi Arab Saudi dijangka berkembang 1.1 peratus pada 2016, demikian menurut kaji selidik Bloomberg, kadar terendah sejak 2009. - Bloomberg

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA