Apple Perkenal iPhone 7, iPhone 7 Plus, Watch Series 2


SEPERTI yang dijangka, Apple mengumumkan barisan iPhone baharu, berserta dengan jam tangan Apple Watch yang baharu, selain terdapat beberapa kejutan lagi.

Syarikat teknologi itu memperkenalkan telefon iPhone 7, iPhone 7 Plus dan jam tangan Watch Series 2.

Rekaan jam tangan baharu itu kelihatan sama dengan model sebelum ini, yang mempunyai dua saiz.

Apa yang baharu adalah jam tangan Apple Watch generasi kedua ini mempunyai rintangan air sehingga 50 meter dan ia boleh dibuat semasa berenang.

Sebenarnya, Apple mereka semula pembesar suara dalamannya bagi menyesuaikan persekitaran dalam air, sekali gus mengekalkan kualiti audio.

Apple turut bekerjasama dengan Nike untuk memperkenalkan jam tangan pintar khas jenama bersama Nike, yang mempunyai tali jam dan warna yang sinonim dengan jenama barangan sukan itu.

Selain itu, satu kejutan lagi apabila Pokemon Go yang dibangunkan Niantic akan memperluaskan fungsi untuk permainan itu pada jam tangan pintar berkenaan.

Dengan Pokemon Go di jam tangan, pengguna tidak perlu mengambil iPhone mereka untuk mengumpulkan Poke Balls and log 'perjalanan' kerana ia berupaya memberi isyarat bahawa anda berada dekat dengan Pokestop.

Bagaimanapun 'Pokemon Go on The Watch' tidak akan dikeluarkan segera selepas Ketua Pegawai Eksekutif Niantic, John Hanke berkata, aplikasi itu akan boleh didapati sebelum akhir tahun.

Mengenai iPhone 7 dan iPhone 7 Plus, Naib Presiden Pemasaran Seluruh Dunia Apple, Phil Schiller turut mengesahkan bahawa iPhone 7 dan iPhone 7 Plus akan mempunyai rintangan air dan debu, yang mana ia dapat bertahan di dalam air dan semasa hujan.

Sudah tentu ciri besar bagi kedua-dua telefon ini adalah fungsi kameranya.

Kedua-duanya akan mempunyai penstabilan imej optik yang dibina di dalam.

Jika dibandingkan dengan generasi sebelumnyam hanya iPhone 6s Plus dipaparkan OIS, dan ia tidak didapati pada telefon iPhone 6s yang lebih kecil.

Masih terdapat perbezaan, bagaimanapun iPhone 7 akan dilengkapi sensor kamera tunggal 12 megapiksel manakala iPhone 7 Plus didatangkan dengan dwi-kamera.

Walaupun jumlah megapikselnya kekal sama, Schiller berkata, sensor imej pada iPhone 7 dan 7 Plus kini 60 peratus lebih cepat dan 30 peratus lebih cekap dari segi tenaga berbanding generasi sebelumnya.

Lensanya turut direka semula dengan lensa baharu 6-element dengan apertur f/1.8.

Kamera hadap depan 'FaceTime' bagi kedua-dua model juga dinaik taraf kepada 7 megapiksel. - mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA