APM Hadapi Detik Cemas Tangkap Ular Sawa Batik 100 Kg


Sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berdepan saat mencemaskan apabila seekor ular sawa batik seberat 100 kilogram bertindak agresif ketika cuba menangkap haiwan tersebut di Taman Fikri dekat sini malam Ahad.

Ketua Skuad APM Ahmad Zaquan Aziz berkata pada mulanya ular sawa sepanjang 3.6 meter itu cuba menyerang dan membelit anggota APM yang ingin menangkapnya di dalam longkang berhampiran kawasan perumahan itu selepas menerima maklumat awam pada pukul 9.35 malam.

"Tiga anggota kita mengambil masa selama 10 minit untuk menumpaskan ular sawa tersebut.

"Agak sukar untuk kita menangkap ular itu dengan keadaan gelap serta ruang yang sempit serta ular yang turut bertindak agresif. Namun dengan kepakaran yang ada kita berjaya menangkap haiwan tersebut," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Ahmad Zaquan berkata pihaknya percaya ular tersebut datang dari kawasan paya berhampiran untuk mencari makanan di kawasan sekitar sebelum bertembung dengan sekumpulan remaja yang menemuinya bersembunyi di dalam longkang.

Katanya, ular berkenaan kini disimpan pihak APM sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) atau dilepaskan ke habitat asalnya.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA