Anwar – Mahathir berjabat tangan: Ini komen mangsa liwat Anwar

Ketika ada pihak melihat Tun Dr Mahathir Mohamad dan musuh lamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berjabat tangan seolah-olah sudah berdamai, mangsa liwat mantan timbalan perdana menteri itu mempunyai pandangannya tersendiri.

Bagi Saiful Bukhari Azlan, walaupun Islam melihat bermaafan kearah perdamaian tidak salah namun sejarah, fakta dan kebenaran tidak sesekali boleh diubah walaupun setelah berdamai,

“Ia tetap utuh,” tulis Saiful Bukhari di Facebook beliau dipercayai sebagai respon berita Tun Mahathir hadir ke mahkamah memberi sokongan kepada Anwar yang memfailkan injuksi cuba menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Untuk rekod, Tun Mahathir, Anwar dan Saiful Bukhari adalah tiga individu penting dalam pemecatan Anwar daripada kerajaan dan kes liwat membabitkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Anwar kini sedang menjalani hukuman lima tahun penjara setelah didapati bersalah meliwat Saiful Bukhari yang ketika itu pembantunya.

Meneruskan catatan, Saiful Bukhari berharap semoga beliau terus diberi kekuatan untuk istiqamah, walaupun banyak dugaan untuk memusnahkannya.

Tun Mahathir hari ini mengejutkan banyak pihak apabila hadir ke mahkamah di Kuala Lumpur dan bertemu dengan Anwar .

Ini menimbulkan tanda tanya sama ada mereka sudah berdamai atau masing-masing cuba mengambil kesempatan atas agenda politik PKR dan PRIBUMI.

Bagaimanapun Anwar yang ditanya media sama ada sudah mempercayai Tun Mahathir selepas pertemuan itu menjawab, “tidak”.

Tun Mahathir pula berkata, beliau hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana berminat dalam kes mahkamah yang dimulakan oleh pemimpin PKR itu berkaitan MKN.

“Saya tidak tahu tentang kawan. Saya bercakap dengan dia, itu sahaja. Saya menyokong tindakan beliau terhadap akta MKN,” katanya lagi.

Pertemuan kedua-dua bekas pemimpin negara itu adalah kali pertama dalam tempoh 18 tahun selepas Dr Mahathir memecat Anwar sebagai Timbalan Menteri Perdana pada 1 September 1998.

Anwar sebelum ini menulis warkah dari penjara menegur beberapa pemimpin PKR yang bersekongkol dengan mantan perdana menteri itu bagi menjayakan Deklarasi Mahathir bertujuan menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR turut mengecam Tun Mahathir kerana terus menyerang suaminya kerana dalam wawancara dengan akhbar The Australian, Tun Mahathir berkata Anwar sudah terlalu tua untuk menjadi perdana menteri yang seterusnya.

Tun Mahathir juga berpegang teguh dengan keputusannya untuk memecat bekas timbalannya pada tahun 1998 dengan mendakwa Anwar sebagai ‘tidak bermoral’.

Justeru itu, tidak hairan pertemuan beliau dengan Anwar hanyalah sebagai lakonan Tun Mahathir untuk menarik simpati PKR bagi menyokong perjuangan parti PRIBUMI yang ditubuhkannya. - BNBBC News

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA