Anina Gugurkan Saman Terhadap Najib


Bekas Ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin menggugurkan samannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pihak kedua berkaitan isu derma RM2.6 bilion.

Menurut laporan The New Straits Times, Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Datuk Seri Najib, mengesahkan bahawa Anina telah memfailkan notis untuk menarik balik rayuan saman itu di Mahkamah Rayuan bulan ini.

Anina bersetuju untuk membayar kos guaman sejumlah RM5,000.

Pada 28 Ogos, Anina memfailkan saman terhadap Najib dan Ab Rauf, antara lain, bagi menuntut sebahagian daripada derma RM2.6 bilion (AS$650 juta) yang dikatakan dimasukkan oleh presiden parti ke dalam akaun peribadinya di Singapura.

Datuk Seri Najib dan Ab Rauf kemudiannya memfailkan permohonan untuk membatalkan saman atas sebab ia remeh dan menyusahkan, serta Anina tidak mempunyai hak di bawah undang-undang untuk menyaman kerana dia bukan seorang pegawai awam parti UMNO.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan permohonan pembatalan Datuk Seri Najib dan Ab Rauf itu selepas membuat keputusan bahawa Anina tidak mempunyai locus standi bagi memulakan tindakan undang-undang kerana dia bukan pegawai awam ataupun menyandang sebarang jawatan dalam UMNO.

Anina seterusnya telah membuat rayuan terhadap pembatalan saman oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Disember tahun lalu. - Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA