Anak 11 Tahun Digilis Lori Depan Ibu


BAGAN SERAI – Seorang murid tahun lima di Sekolah Kebangsaan Teluk Medan di sini, maut dirempuh sebuah lori ketika cuba melintas jalan raya, kira-kira pukul 7.20 pagi tadi.

Lebih memilukan, kejadian tersebut disaksikan oleh ibunya sendiri ketika mangsa, Mohammad Haikal Helme, 11, bersama beberapa murid yang lain melintas jalan untuk memasuki sekolah.

Menerusi rakaman CCTV yang dikongsikan netizen di laman sosial, pengawal lalu lintas sekolah berkenaan dilihat pada mulanya mengarahkan kenderaan yang melalui jalan tersebut untuk memperlahankan kelajuan.

Ini bagi memberi laluan kepada murid-murid sekolah melintas jalan.

Bagaimanapun, pemandu lori terbabit yang membawa muatan ayam itu tidak memberhentikan kenderaan. Mangsa yang sudah berada di tengah jalan cuba melarikan diri dari dirempuh namun terlambat untuk berbuat demikian.

Difahamkan, pemandu lori terbabit didakwa tidak memberhentikan kenderaan walaupun lampu isyarat menyala merah.

Mangsa maut serta merta di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

Ayah mangsa, Helme Ahmad, 53, tidak dapat menahan perasaan sedih akan kehilangan anak bongsunya itu.

“Arwah amat rapat dengan ibunya dan dihantar ke sekolah setiap hari oleh ibunya. Arwah tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan sikap dan sentiasa ceria bersama adik beradiknya.

“Sehingga kini, isteri saya masih trauma dengan kejadian itu. Namun kami sekeluarga redha dengan pemergian arwah anak,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.

Jenazah Mohammad Haikal Helme telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Tinggi selepas solat Zohor tengah hari tadi. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA