Aiyah, Rendang, Mamak Sudah Ada Dalam Oxford


LONDON – Aiyah, yok makan char kway teow di kopitiam – itulah antara perkataan-perkataan asing yang kini sudah disertakan secara rasmi dalam leksikon terbaharu Kamus Bahasa Inggeris Oxford (OED).

Kata seru popular seperti ‘aiyah’ dan ‘aiyoh’ yang lazimnya digunakan dalam pertuturan harian di Singapura dan di rantau Asia tenggara untuk meluahkan rasa kecewa atau menyerah kalah, malah diiktiraf oleh OED dalam versinya yang dikemas kini mulai 12 September.

Kamus rujukan popular itu juga menyertakan ‘Ah Beng‘ – perkataan yang biasa digunakan di Malaysia dan Singapura untuk menyifatkan pemuda-pemuda Cina yang riuh serta bergaya kampung – selain perkataan ‘atas’ yang digunakan untuk menyifatkan status sosial tinggi.

Perkataan ‘ang pow‘ – bermaksud ‘hong bao’ dalam dialek Cina lain atau sampul merah yang diberikan semasa acara khas – juga disertakan dalam keluaran terkini OED, kamus terulung bahasa Inggeris yang mula diterbitkan Universiti Oxford di Britain sejak 1911.

Seperti versinya yang lalu, makanan juga dipaparkan secara ketara, dengan ‘char kway teow’, ‘rendang’ dan ‘nasi ayam’ ditambah pada kamus tersebut.

Perkataan-perkataan baru yang disertakan termasuk sesetengah yang cukup dikenali mereka yang tinggal di Asia Tenggara, seperti “balut” iaitu makanan jalanan yang biasanya dijual di Filipina dan Indonesia. “Mamak” dan “kopitiam” turut disertakan.

Para editor OED juga menambah perkataan “bocconcini” – keju mozarella kecil bersaiz telur – sebagai perkataan Inggeris yang rasmi.

Watak Star Wars popular, Yoda, yang terkenal dengan nasihat-nasihatnya yang diberikan dengan tatabahasa Inggeris yang salah, juga diiktiraf dalam kamus OED.

Kamus berusia 150 tahun itu kini mempunyai koleksi 600,000 perkataan. Ia dikemas kini setiap 3 bulan, dan akan dikemas kini seterusnya pada Disember 2016.
– CNA/

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA