Ahmad Yakob Pangku Jawatan Mursyidul Am PAS – Hadi


KOTA BHARU – Timbalan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob akan memangku jawatan Mursyidul Am parti itu selepas pemergian Allahyarham Datuk Dr. Haron Din semalam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kepimpinan tertinggi parti akan bermesyuarat bagi menentukan siapa yang layak memegang jawatan itu.

“Sebelum ini ketika almarhum (Haron) uzur, tugas itu memang sudah dipikul oleh timbalan dan tidak menjadi masalah.

“Pengantinya akan ditentukan dalam mesyuarat dan kita akan mengikut Perlembagaan parti bagi menentukan siapa penggantinya,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Rang Undang-Undang (RUU) 355 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV di sini, malam tadi.

Allahyarham menyandang jawatan Mursyidul Am PAS pada Mac tahun lepas bagi menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada Februari 2015 akibat kanser prostat.

Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi semalam (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars, 1761 Laughlin Road, Livermore, California pada 8.57 pagi tadi (waktu Malaysia). – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA