Ahli Parlimen Penampang keluar PKR, sertai parti Shafie


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking mengesahkan beliau meninggalkan PKR untuk menyertai bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menghidupkan semula sebuah parti politik sedia ada di Sabah.

Darell berkata, keputusannya meninggalkan PKR sudah dimaklumkan kepada Presiden parti itu, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, baru-baru ini.

"Saya telah membuat keputusan politik bekerjasama dengan Mohd Shafie untuk berjuang bagi menukar landskap politik di negeri ini melalui sebuah parti berasaskan Sabah. Saya tetap hormat perjuangan PKR, namun kini tiba masanya untuk berjuang dalam sebuah parti tempatan di Sabah.

"Dalam parti baharu ini, kami sedia bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang lain yang mempunyai matlamat sama untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika dihubungi BH, di sini, sebentar tadi.

Darell yang menjadi Ahli Parlimen sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 berkata, beliau mengiringi Mohd Shafie menghantar permohonan bagi pertukaran nama dan logo parti itu di pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Putrajaya, pagi tadi.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA