Ahli Parlimen British letak jawatan didakwa bayar pelacur lelaki

gambar hiasan
LONDON: Ahli parti buruh British, Keith Vaz meletak jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Dalam Negeri berikutan dakwaan beliau membayar dua pelacur lelaki untuk seks dan menawarkan untuk menampung kos dadah Kelas A di pangsapuri beliau di sini.

Ahli Parlimen Leicester Timur itu mengeluarkan permohonan maaf selepas Sunday Mirror melaporkan beliau bertemu dan membayar dua pengiring lelaki warga Eropah Timur di premisnya di Edgware dan bercakap besar mengenai hubungan seks tanpa perlindungan.

Dalam pertemuan itu, ahli politik berusia 59 tahun berkenaan didakwa menawarkan untuk menampung kos kokain jika ia dibawa ke pangsapuri itu, tetapi enggan menggunakannya.

Satu siri mesej teks yang disiarkan akhbar itu didakwa menunjukkan Vaz meminta dadah kelas A itu dibawa ke kediamannya.

Bahan ini digunakan secara meluas sebagai ubat meningkatkan rangsangan seks. Rakaman suara pertemuan selama 90 minit pada 27 Ogos itu juga dipercayai menunjukkan Vaz sedang meneliti gambar-gambar lelaki pada aplikasi janji temu gay Grindr, lapor The Independent.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada The Mail semalam, Vaz yang menjadi pengerusi Jawatankuasa Pilihan Dalam Negeri sejak 2007, berkata beliau benar-benar meminta maaf kerana melukakan dan menyusahkan hati seluruh anggota keluarga di atas tindakannya, khususnya kepada isteri dan anak-anak. Katanya dalam satu kenyataan, beliau menjadi mangsa pihak tertentu.

"Amat membimbangkan apabila sebuah akhbar kebangsaan membayar individu tertentu untuk bertindak dengan cara ini." katanya. Vaz sudah merujuk dakwaan itu kepada peguam beliau. - Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA