Ahli majlis pendidikan negara sokong TMJ sekolah satu aliran di Johor


Sekolah satu aliran untuk rakyat negeri Johor membuka langkah ke arah pengukuhan perpaduan sosial dan identiti satu bangsa pelbagai budaya, kata salah seorang ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan.

“Melalui acuan yang sama, rakyat kita dapat menyokong identiti nasional yang serupa,” kata Prof Datuk Teo Kok Seong apabila di aju FMT.

Menurut beliau, di Malaysia sekolah rendah sahaja terdapat tujuh aliran.

“Sekarang ini identiti nasional kita berbagai-bagai. Anak muda kita belajar di sekolah yang berbagai-bagai, jadi identiti nasional pun berbagai-bagai.”

Pandangan Teo seiring kenyataan Tuanku Mahkota Johor Tengku, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini yang membidas sistem persekolahan sedia ada.

“Awak ada sekolah Melayu, sekolah Cina, sekolah India, dan dari kecil awak sudah terapkan kepada mereka (rakyat) agar jangan bersatu. Tetapi apabila mereka sudah besar, awak suruh mereka bersatu?” soal TMJ melalui video yang dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Beliau berkata sudah tiba masa hanya ada sejenis aliran sekolah di negerinya, iaitu sekolah “Bangsa Johor”.

Bagaimanapun, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berpandangan cadangan sedemikian berdepan masalah ketara: bukan semua pendidik di Johor anak watan.

“Belum ada satu sekolah semua cikgunya berasal dari satu tempat,” katanya ketika dihubungi FMT.

“Semua guru datang daripada semua negeri.”

“Bukan guru Johor sahaja yang mengajar di situ,” katanya, menegaskan unsur kenegerian sebenarnya tidak membawa kesan kepada pendidikan.

Diketengahkan semula oleh sejarawan Prof Tan Sri Khoo Kay Kim pada 2009 bagi merealisasi matlamat 1Malaysia, sekolah satu aliran disokong ahli politik seperti Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Khairy Jamaluddin, tokoh korporat Datuk Seri Abdul Wahid Omar, dan gerakan siswa seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini pernah menyeru keberanian politik membincangkan pelaksanaannya.

Antara yang menolak adalah Pemuda PKR yang berpendapat “satu sistem yang sesuai untuk semua” adalah idea lapuk, dan menganggap sekolah pelbagai aliran sebagai “warisan kita”.

“Kita tidak patut membazir masa dan tidak perlu menambahkan ketegangan kaum dengan memansuhkan atau menyusahkan sekolah-sekolah vernakular,” kata Ketua Angkatan Muda Keadilan dan Exco Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini.- FMT

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA