Abdullah Tolak Jawatan Presiden FAS, Sukar Beri Komitmen Penuh


KUCHING: Jawatan presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) terus menjadi tanda tanya apabila Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Abdullah Saidol menolak jawatan tersebut atas desakan kerja selain sukar untuk memberi komitmen penuh.

Beliau berkata, penolakan jawatan tersebut dibuat selepas membuat pertimbangan banyak perkara dan keputusan telah diberitahu kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Malah menurutnya, antara alasan utama penolakan menerajui FAS adalah untuk memberi lebih tumpuan kepada urusan berkaitan kebajikan dan pembangunan kawasan yang masih memerlukan perhatian serius.

Abdullah menambah, beliau mungkin akan menghadapi masalah untuk memberi komitmen yang serius kerana turut mempunyai tanggungjawab sebagai Ketua Setiausa Politik Kepada Ketua Menteri.

"Walaupun saya merasa terharu dan bangga kerana menerima kepercayaan serta dorongan daripada Ketua Menteri serta exco FAS yang baharu dipilih, tapi saya terpaksa menolak dengan berat hati tanggungjawab ini demi kebaikan FAS dan demi tugas saya di kawasan.

"Saya tidak mahu keadaan seperti 'Yang Dikejar Tidak Dapat, Yang Dikendong Berciciran Pula'," katanya ketika dihubungi bagi mengulas mengenai laporan dalam laman sosial Facebook berhubung perlantikan beliau sebagai presiden FAS.

Beliau menjelaskan, menerajui FAS bukanlah tugas mudah kerana tanggungjawab tidak boleh dijalankan separuh masa.

"Saya yakin ada calon yang lebih berkemampuan dan berkaliber daripada saya untuk menerajui FAS.

"Saya juga telah menyatakan komitmen saya untuk turut sama membantu FAS,"ujarnya.

Tegas Abdullah, Ketua Menteri tidak menghalang beliau terlibat sebagai presiden FAS.-Sarawakiana






No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA