97 Orang Kena Zika Di Thailand Bagi Januari - Jun 2016


BANGKOK: Seramai 97 orang dijangkiti Zika di Thailand dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Bagi tempoh antara 2012 dan 2015, purata lima orang dijangkiti penyakit itu setiap tahun.

Ketua Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Amnuay Gajeena bagaimanapun berkata tidak perlu terlalu bimbang dengan ancaman Zika di Thailand, di sebalik jangkitan baharu dikesan di Chiangmai, Chanthaburi, Phetchabun dan Bung Kan pada minggu lalu.

"Kami telah melaksanakan langkah-langkah ketat untuk mengawal penularan virus," katanya kepada media tempatan, sebagai respons kepada laporan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) baru-baru ini mengenai situasi penyakit Zika di Thailand.

Pusat itu dalam laporannya meletakkan Thailand sebagai negara "amaran merah" dengan peningkatan atau penularan jangkitan virus Zika.

Dr Amnuay berkata, negara itu tidak menyaksikan penyebaran penyakit Zika bagi tempoh berpanjangan di mana-mana kawasan yang terjejas dan jumlah pesakit dijangkiti virus itu juga tidak terlalu banyak.

Katanya pemantauan dan sistem diagnostik lebih baik telah membawa kepada peningkatan kes Zika dikesan di Thailand.

"Kini kami dapat mengenal pasti virus Zika di makmal-makmal tempatan. Kami tidak perlu lagi menghantar sampel ke makmal di luar negara untuk mendapatkan keputusannya. Sebaik sahaja kes Zika dikesan, kami menubuhkan pusat operasi kecemasan untuk mengawal penyebarannya baik di peringkat provinsi mahupun di peringkat daerah," katanya.

Penyakit Zika, menurutnya, menyebabkan demam, ruam, konjunktivitis, sakit otot dan sendi dan pening, dengan bukti baru-baru ini mengaitkan virus itu dengan sindrom 'microcephaly' dan 'Guillain-Barre'.

Katanya, wanita mengandung perlu mendapatkan penjagaan prabersalin sekiranya disyaki menghidap mana-mana simptom itu serta perlu mendapatkan pemeriksaan doktor.

Para doktor telah memantau 20 wanita mengandung di kawasan penyakit Zika dilaporkan berlaku, dengan enam daripadanya telah melahirkan bayi yang sihat, katanya. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA