60 maut, 44,000 kehilangan kediaman akibat banjir di Korea Utara


PYONGYANG: Hujan lebat yang mengakibatkan banjir meragut 60 nyawa di Korea Utara dan 44,000 lagi kehilangan tempat tinggal, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selepas negara berkenaan melaporkan sungai di timur laut negara itu berhadapan bencana paling buruk.

Pyongyang berkata, sungai Tumen, yang menandakan sempadan dengan China dan Russia, mengalami banjir paling teruk pernah direkodkan disebabkan hujan lebat sejak empat hari lalu.


Kawasan berhampiran termasuk Musan dan Hoeryong paling teruk terjejas, dengan 60 maut dan lima peratus penduduk kehilangan rumah, kata Pejabat Hal Ehwal Penyelarasan Kemanusiaan PBB dalam kenyataan.

Ia memetik data daripada kerajaan.

"Komunikasi dengan dan kemasukan ke kawasan terjejas masih menjadi cabaran, keperluan segera dikenal pasti sebagai pusat perlindungan kecemasan, makanan, ubat, air dan peralatan kebersihan," kata kenyataan.

Hampir 9,000 bangunan musnah atau rosak dengan 10,000 hektar tanah ladang dinaiki air, katanya, menambah usaha bantuan bersama membabitkan PBB dan kerajaan sedang dijalankan.


Media negara itu, Jumaat lalu melaporkan 15 hilang selepas lebih 17,000 rumah musnah atau rosak.

Negara miskin itu terdedah kepada bencana semula jadi, terutama banjir. Sekurang-kurangnya 169 maut dalam hujan lebat pada musim panas 2012. - AGENSI

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA