6 pelajar Orang Asli Ke UK



SEPANG: “Saya memasang impian membantu suku kaum saya berjaya dalam pelajaran masing-masing,” kata Nor Syakina Jam, 27, calon doktor falsafah (PhD) yang mengikuti Program Ijazah Luar Negara (ILN), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) ke United Kingdom.

Nor Syakina antara enam daripada 18 pelajar Orang Asli dari seluruh negara ditawarkan mengikuti program ILN ke universiti di luar negara.

Mereka ditemui di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Nor Syakina yang juga pensyarah bidang kewangan Islam di Universiti Automotif DRB Hicom, Pekan, Pahang berkata, dia bakal menyambung pengajian PhD dalam bidang Kewangan Islam di Glasgow Caledonian University, Scotland selama empat tahun.

Beliau berasal dari suku kaum Semai di Lata Kinjang, Tapah, Perak berkata, sekiranya menamatkan pengajian kelak, dia akan menjadi anak Orang Asli ketiga yang melanjutkan pengajian peringkat PhD selain yang pertama dalam bidang kewangan Islam.

“Saya menyifatkan peluang melanjutkan pelajaran ini pengiktirafan buat masyarakat Orang Asli secara keseluruhannya,” katanya yang baru mendirikan rumah tangga dengan Nor Syahir Ismail, 25, pada Mac lalu.

Katanya, biarpun berat meninggalkan suami, dia menganggapnya sebagai cabaran bagi mencapai impiannya membangunkan pendidikan masyarakat Orang Asli di negara ini.

Nor Syakina berkata, sebelum ini, dia menamatkan sarjana muda di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan sarjana dalam bidang Kewangan Islam di University of South Wales, United Kingdom.

Menurutnya, dia memilih bidang kewangan Islam kerana melihat bidang berkenaan semakin berkembang di Malaysia dan seluruh dunia.

Sementara itu, Chai Mey Ling, 22, dari suku kaum Semelai dan Jakun dari Kampung Bukit Gemuruh, Bera, Pahang berkata, dia bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Petroleum di University of Portsmouth, United Kingdom.

Menurutnya, dia baru saja menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang Kejuruteraan Kimia di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.7.

“Saya mula memasang hasrat menyambung pengajian di luar negara sejak sekolah menengah sebelum berusaha bersungguh-sungguh mencapai impian itu sebaik mengetahui tawaran di buat Jakoa,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jakoa Mohd Jamalludin Kasbi ketika ditemui di KLIA berkata, seramai 74 pelajar Orang Asli diberi peluang mengikuti program ILN Jakoa sejak 2012 yang terpilih dalam kalangan pelajar cemerlang di seluruh negara.

Menurutnya, pihaknya meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) seramai 15 pelajar Orang Asli yang ditawarkan mengikuti program itu setiap tahun malah, ia berjaya dilepasi tahun ini selepas 18 orang berjaya ditawarkan program itu.

“Sebagaimana pelajar lain, mereka juga dipilih berdasarkan kecemerlangan dalam pelajaran dan keupayaan mereka yang setanding dengan pelajar daripada pelbagai kaum lain di Malaysia,” katanya.-Metro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA