452,721 Calon UPSR Duduki Peperiksaan Di Seluruh Negara


KUALA LUMPUR: Seramai 452,721 calon menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 selama lima hari bermula Khamis lepas (1 September) dan berakhir 8 September ini di 8,100 pusat peperiksaan seluruh negara.

Daripada jumlah berkenaan, 443,677 adalah calon daripada sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala 9,044 calon lagi daripada sekolah swasta.

Calon tahun ini merupakan kohort pertama yang menduduki peperiksaan itu di bawah format baharu UPSR, sejajar pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang turut menekankan unsur-unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Di JOHOR, seramai 54,663 calon UPSR ditempatkan di 945 pusat peperiksaan yang dikendalikan 6,145 petugas.

Pengarah Pendidikan Negeri, Shaharudin Sharif dalam kenyataan berkata daripada jumlah itu, 16,104 calon adalah dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC); 2,088 dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan 788 calon sekolah swasta.

Tinjauan Bernama di SK Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru mendapati tujuh Calon Berkeperluan Khas (CBK) menduduki peperiksaan itu dengan kesemua mereka merupakan sebahagian daripada 122 CBK di Johor iaitu lima daripadanya adalah calon buta manakala dua lagi calon rabun.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pendidikan Negeri, Rusni Ab. Jalil memaklumkan seramai 16,945 calon menduduki UPSR di 356 pusat peperiksaan, melibatkan 11,849 calon Sekolah Kebangsaan; 3,346 (SJKC); 1,529 (SJKT) dan 221 calon swasta.

Menurutnya, 161 murid termasuk seorang CBK dan tujuh calon menduduki peperiksaan itu di SK Seremban 2B manakala lapan calon lain mendudukinya di hospital.

Di PERAK, calon yang menduduki UPSR adalah seramai 35,521 orang di 869 pusat peperiksaan melibatkan 24,034 calon Sekolah Kebangsaan diikuti 8,379 calon SJKC; 2,283 (SJKT) dan 825 pelajar sekolah swasta.

Terdapat 10 calon yang menduduki peperiksaan di tujuh hospital seluruh negeri pada tahun ini, demikian menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Rozi Puteh Ismail.

Di PULAU PINANG, seramai 22,171 calon menduduki peperiksaan UPSR manakala 101 calon lain mengambil Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) yang terdiri daripada pelajar istimewa dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Pengarah Pendidikan Negeri, Shaari Osman berkata daripada jumlah tersebut, 7,852 murid mengambil kertas Bahasa Cina dan 1,038 calon mengambil kertas Bahasa Tamil pada Khamis lepas.

Di TERENGGANU, Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata calon yang mengambil UPSR adalah 20,860 di 362 pusat peperiksaan termasuk 10 di SJKC dan 11 di sekolah swasta.

Setakat pagi ini, peperiksaan berjalan lancar kecuali seorang calon yang terpaksa mengambil peperiksaan di Kuala Terengganu Specialist Centre kerana mengalami jangkitan paru-paru, katanya.

Enam pusat peperiksaan turut disediakan di hospital-hospital daerah termasuk satu pusat di Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu bagi menempatkan calon yang mengalami masalah kesihatan.

Di PAHANG,seramai 24,159 calon dari 548 sekolah menduduki UPSR yang merangkumi 19,939 calon dari Sekolah Kebangsaan, 3,126 (SJKC) dan 535 (SJKT).

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Mohd Dzulkifry Nordin berkata calon yang turut menduduki peperiksaan itu adalah 41 orang dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 159 dari empat sekolah model khas dan 359 calon lagi dari lima sekolah swasta.

Di PERLIS, Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis Izmi Ismail memaklumkan seramai 3,815 calon termasuk empat CBK menduduki peperiksaan itu di 78 pusat peperiksaan yang dikendalikan 343 petugas.

Daripada jumlah itu 3,418 adalah calon Sekolah Kebangsaan, SJKC (293), SJKT (14) dan calon swasta (90), selain tiga calon yang terpaksa menjawab peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan dan kemalangan, katanya.
Di SABAH, calon yang menduduki UPSR adalah seramai 44,558 yang ditempatkan di 1,086 pusat peperiksaan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang meninjau perjalanan peperiksaan itu di Sekolah Kebangsaan Sodomon, Keningau mengucapkan selamat maju jaya kepada kesemua calon dan berharap mereka bersemangat ketika menjawab soalan.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA