35 Tahun Cukup Bayar Pinjaman Perumahan


KUALA LUMPUR: Tempoh maksimum 35 tahun lebih daripada mencukupi untuk peminjam menyelesaikan pinjaman perumahan mereka menjelang umur persaraan, demikian Bank Negara Malaysia (BNM).


Sebagai contoh, katanya, jika pinjaman perumahan ditawarkan ketika peminjam berusia 25 tahun, tempoh pembiayaan selama 35 tahun adalah hingga umur persaraan 60 tahun.


"Sebaliknya, dengan melanjutkan tempoh pinjaman kepada 40 tahun akan menambah jumlah kos pembiayaan tanpa sebarang peningkatan ketara dalam kemampuan seseorang untuk membayar ansuran bulanan," kata bank pusat menerusi kenyataan, hari ini. 


BNM mengulas laporan media mengenai permintaan supaya bank pusat mengkaji semula garis panduan pemberian pinjaman dengan melanjutkan tempoh pembayaran balik pinjaman daripada 35 kepada 40 tahun.


Mengulas lanjut, BNM berkata, pelaksanaan garis panduan pembiayaan bertanggungjawab BNM berfungsi untuk melindungi kepentingan individu supaya mereka membuat pinjaman mengikut kemampuan bagi membayar balik pinjaman sepanjang tempoh terbabit.

Katanya, ia bagi mengelakkan peminjam menghadapi masalah kewangan yang disebabkan oleh beban hutang berlebihan yang mungkin membawa kepada rampasan rumah, lantas menjejaskan objektif pemilikan rumah. 

"Menjadi tanggungjawab institusi kewangan untuk memastikan pendapatan peminjam selepas potongan wajib, perbelanjaan keperluan asas dan semua tanggungan hutang lain adalah mencukupi untuk membayar balik hutang.

"Ini bagi memastikan peminjam boleh terus membayar balik pinjaman serta mempunyai baki kewangan mencukupi untuk perbelanjaan mereka. Ia juga bagi membolehkan peminjam bersedia menghadapi sebarang kenaikan kadar pinjaman dan kos sara hidup pada masa akan datang," katanya. 

Dalam pada itu, BNM menyatakan institusi kewangan akan terus memberi pinjaman kepada individu yang layak untuk memperoleh pinjaman perumahan, termasuk pembelian rumah pertama mereka.

Julai lalu, katanya, jumlah pinjaman perumahan terkumpul yang diberi oleh institusi kewangan terus meningkat pada 10.1 peratus (pada asas tahunan) yang berjumlah RM460.2 bilion.

"Kira-kira 75 peratus pembeli (kira-kira 1.5 juta peminjam) yang mempunyai pinjaman adalah pembeli rumah kali pertama," katanya.

NM berkata, akses kepada pembiayaan bukan masalah utama yang dihadapi oleh bakal pembeli rumah mampu milik.

"Isu asas yang memerlukan penyelesaian adalah kemampuan dan kekurangan bekalan rumah harga berpatutan," katanya. - BHarian

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA