31 Briged Sempadan, Teras Keselamatan MINDEF Di Sarawak


KUCHING: Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) terus berusaha keras memastikan 31 Briged Sempadan yang ditubuhkan awal tahun ini dapat berjalan dengan lancar.

Menurut Menteri Pertahanan Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein, penubuhan 31 Briged Sempadan merupakan salah satu saluran daripada Teras Keselamatan, yang merupakan satu daripada lima teras utama MINDEF dalam usaha meningkatkan kawalan keselamatan negara.

“Dalam tempoh lapan bulan penubuhan briged ini, kita telah berjaya merekrut hampir 40 peratus daripada anggota yang diperlukan bagi melengkapkan lima batalion di bawah naungan Briged ini.

“Terbaru, seramai 499 orang yang terdiri daripada anak tempatan Sarawak telah terpilih untuk menganggotai Briged tersebut dan sedang menjalani latihan asas di Kem PLKN Junaco Park, Sibu.” katanya.

Hishamuddin berkata demikian ketika sidang media di Dewan Sri Angkasa ketika Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Bintara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan Tentera Udara, di sini pagi tadi.

Tambah beliau, usaha sedang giat dijalankan bagi menambah bilangan anggota yang benar-benar layak untuk mengisi baki kekosongan sebanyak 1,000 lagi perjawatan Briged berkenaan

“Selain ingin memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, anggota yang terdiri daripada warga tempatan Sarawak yang mempunyai ‘local knowledge’ pasti akan memberikan banyak kelebihan kepada pasukan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, 31 Briged Sempadan ditubuhkan bagi meningkatkan keupayaan tempur serta mengimbangi bebanan tugas pasukan infantri sedia ada di negeri ini dan Sabah. Ia turut melengkapkan Divisyen Pertama Infantri Malaysia kepada tiga buah Briged Infantri daripada dua Briged sedia ada selain menambah keberkesanan pengawasan sempadan.

"Pelaksanaan 31 Briged Sempadan diperkukuhkan melalui Tentera Darat yang akan membina kem di Bintulu bagi menempatkan Markas 31 Briged Sempadan dan satu Batalion Regimen Sempadan.

“Bintulu dipilih bagi membolehkan Briged ini melaksanakan ‘secondary task’ iaitu untuk memantau sasaran-sasaran penting seperti empangan-empangan di Bakun, Murum dan Baleh,” katanya. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA