159,725 Anak Tak Sah Taraf Didaftar Sejak 2013 : JPN


KUALA LUMPUR: Rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendedahkan 159,725 kelahiran anak luar nikah atau tidak sah taraf, didaftarkan di seluruh negara bagi tempoh tiga tahun, bermula 2013.

Menurut JPN, pendaftaran semua kelahiran itu hanya membabitkan wanita Islam, kerana tiada status sedemikian untuk bukan Islam.

Statistik itu merekodkan 2014 sebagai tahun paling ramai anak luar nikah dalam tempoh berkenaan, iaitu 54,614 orang, 672 kelahiran lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Bilangan anak tidak sah taraf direkodkan JPN pada tahun 2013 adalah 53,492 orang, berdasarkan kepada jumlah pendaftaran yang dibuat di jabatan berkenaan.

Bagaimanapun, pendaftaran anak tidak sah taraf yang direkodkan tahun lalu menunjukkan penurunan sebanyak 3,445 kelahiran, berbanding tahun sebelumnya.

Pada tahun lalu, JPN merekodkan 51,169 pendaftaran membabitkan anak tidak sah taraf, menjadikan ia jumlah terendah bagi tempoh tiga tahun itu.

Tiada ikatan perkahwinan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 mendefinisikan anak luar nikah atau tidak sah taraf sebagai bayi yang lahir daripada ibu yang tidak mempunyai sebarang ikatan perkahwinan dengan lelaki yang menyetubuhinya.

Dalam kebanyakan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri di Malaysia, anak tak sah taraf ditafsirkan sebagai seorang bayi dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada berpunca daripada perbuatan zina atau dirogol atau melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum Syarak.

Mengulas mengenainya, Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia, Dr Norsaleha Mohd Salleh, berpendapat jumlah kes anak luar nikah dalam kalangan wanita Islam amat menyedihkan dan memerlukan tindakan segera pihak berwajib.

Beliau menyifatkan kebanyakan kes kelahiran anak luar nikah berpunca daripada kecetekan pendidikan agama dan moral.

"Peningkatan kes anak luar nikah ini amat membimbangkan, khususnya dalam kalangan remaja Islam. Cetek dalam agama dan ketiadaan nilai moral membawa kepada masalah ini.

"Saya percaya, apa agama pun menyeru kepada kebaikan dan menolak sama sekali perilaku seks sebelum berkahwin," katanya kepada BH.

Peranan ibu bapa

Beliau berkata, peranan ibu bapa juga amat kritikal dalam melahirkan generasi muda yang positif akhlak dan mindanya.

"Waktu bersama anak perlu pada tahap maksimum bagi memastikan anak mereka tidak berasa tersisih dan seterusnya mencari jalan gembira di luar rumah," katanya.

Norsaleha juga mencadangkan Kementerian Pendidikan supaya menimbang untuk menambah waktu pembelajaran bagi subjek Pengajian Islam dan Pendidikan Moral bagi semua peringkat persekolahan.

Beliau turut menyokong saranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) untuk mewujudkan keseimbangan dalam modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Seksual Lelaki yang bakal dilaksanakan.

"Hubungan seksual adalah di antara lelaki dan perempuan. Perlu ada keseimbangan yang jelas untuk mendidik remaja daripada kedua-dua jantina supaya tidak terjebak dalam seks bebas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperkenalkan modul pendidikan seks untuk remaja lelaki berusia 16 tahun. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA