100 Orang Disiasat Berkaitan Nahas MH17 - Penyiasat


NIEUWEGEIN : Kumpulan siasatan bersama (Joint Investigation Team - JIT) pada Rabu menyatakan 100 orang sedang disiasat berhubung dengan serangan peluru berpandu BUK9838-series yang menyebabkan pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine dua tahun lalu.

Siasatan turut mengesahkan peluru BUK tersebut ditembak dari padang di kawasan timur Ukraine yang pada ketika itu berada di bawah kawalan puak pro-pemisah Rusia.

Pesawat Boeing 777 itu terhempas pada 17 Julai, 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, mengorbankan kesemua 298 penumpang termasuk 196 warganegara Belanda.

“Siasatan kami menunjukkan lokasi BUK dilancarkan berada di tangan puak pemisah Rusia,” jelas ketua penyiasatan polis Belanda, Wilbert Paulissen.

JIT telah mengenal pasti kira-kira 100 orang yang boleh dikaitkan dengan tragedi pesawat terhempas itu atau pemindahan sistem BUK-TELAR, menurut pasukan pendakwaan Belanda.

Menurut ketua penyiasat Fred Westerbeke, mereka dipercayai memainkan peranan dalam memindahkan sistem pelancar peluru yang digunakan untuk menembak jatuh MH17.

Namun dia menambah, masih belum ada suspek rasmi dalam siasatan ini.

“Berdasarkan siasatan jenayah kami menyimpulkan penerbangan MH17 dijatuhkan oleh peluru BUK siri 9M83, yang datang dari wilayah Rusia,” tambah Paulissen.

Menurutnya lagi, sistem pelancar peluru itu dibawa pulang semula ke Rusia selepas digunakan.

Rusia minggu ini masih tidak mahu bertanggungjawab di atas tragedi MH17 dengan kenyataan pada Isnin menegaskan imej radar tidak menunjukkan sebarang peluru dilancarkan dari wilayah yang dikuasai puak pemberontak.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov pada Rabu menegaskan Rusia telah menyediakan informasi terperinci yang perlu diambil kira oleh para penyiasat.

“Data tersebut jelas, dan pada data itu tiada peluru. Maka sekalipun ada peluru, pastinya dilancarkan dari wliayah lain,” ujarnya lagi.

Ukraine dan pihak Barat percaya puak pemisah pro-Rusia telah menembak pesawat tersebut dengan sistem pelancar peluru buatan Rusia yang dibekalkan oleh Moscow.

Tragedi tersebut turut menyaksikan Kesatuan Eropah mengenakan sekatan lebih ketat terhadap Rusia kerana sokongan negara itu terhadap puak pemberontak.

Namun Rusia dan puak pemberontak masing-masing tetap menafikan sebarang peranan dalam menembak jatuh pesawat, sebaliknya menyalahkan kerajaan Ukraine. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA