10 individu negatif virus zika

Keputusan ujian darah dan air kencing ke atas 10 orang yang ada hubungan rapat dengan mangsa zika di Likas, mendapati mereka negatif virus berkenaan.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Christina Rundi, berkata sampel darah dan air kencing mereka diambil baru-baru ini selepas seorang lelaki berusia 61 tahun disahkan sebagai jangkitan virus zika tempatan pertama di negara ini.

Lelaki itu meninggal dunia pada jam 5.30 petang pada Sabtu akibat komplikasi jantung.

"Sebanyak 280 rumah daripada 775 premis dalam kawasan 400 meter radius dari rumah kes sudah diperiksa manakala selebihnya tidak dapat diperiksa kerana tidak dibenarkan masuk oleh tuan rumah atau tiada penghuni," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Beliau berkata, demam denggi masih kekal sebagai satu masalah kesihatan utama di Sabah, sekali gus ia perlu diberi perhatian kerana nyamuk aedes juga pembawa virus denggi dan zika.
\
"Setakat 3 September lalu, jumlah kes denggi yang dilaporkan ialah 2,516 iaitu peningkatan 685 kes atau 37 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu," katanya.

Sebanyak 17 lokaliti wabak dikenal pasti termasuk satu lokaliti wabak tidak terkawal iaitu di Pulau Bakungan Kecil, Sandakan dan satu lokaliti 'hotspot' di Batu 5, Jalan Sook/Java Industri Sdn Bhd, Keningau.

Lokaliti wabak terbaru ialah Kampung Bambangan, Kota Kinabalu yang diisytihar lokaliti wabak pada 2 September dengan dua kes. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA