Yayasan Peneraju Bangunkan 10,000 Bakat Bumiputera - PM

Foto Bernama

PUTRAJAYA: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) berjaya membangunkan 10,000 bakat Bumiputera sehingga bulan ini, sekali gus mencapai 25 peratus sasaran 40,000 bakat menjelang tahun 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata jumlah itu dicapai melalui pengenalan 117 program di bawah tiga program teras iaitu Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional, dengan perbelanjaan kira-kira RM206 juta.

Perdana Menteri berkata, menjelang 2020, Yayasan Peneraju akan melatih 30,000 penerima faedah Program Peneraju Skil dan setakat Jun 2016, sebanyak 63 program sudah dilaksanakan membabitkan 5,019 penerima faedah dengan pelaburan berjumlah RM51.6 juta.

"Dalam Rancangan Malaysia Ke-11, Yayasan Peneraju akan memperluaskan lagi latihan kemahiran dan program profesional bertauliah bagi membangunkan tenaga kerja mahir Bumiputera.

"Bagi tujuan ini, Yayasan mempunyai dua segmen sasaran iaitu Program Peneraju Skil Iltizam yang menyasarkan belia berumur antara 17 dan 23 tahun yang kurang cenderung akademik, malah yang tidak tamat persekolahan juga diserap.

"Yang kedua, Program Peneraju Skil yang menyasarkan pelatih berumur sehingga 40 tahun yang ingin meningkatkan kemahiran mereka ke peringkat lebih tinggi," katanya pada "Majlis Bersama Perdana Menteri - Perjalanan Merealisasi 40,000 Aspirasi" di Perdana Putra di sini, pagi ini. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA