Wisma Putra Usaha Bawa Pulang Dua Tahanan Guantanamo


NEW YORK: Wisma Putra tetap berusaha untuk membawa pulang dua rakyat Malaysia yang ditahan di Guatanamo Bay, dan usaha itu hanya akan berjaya jika deradikalisasi mereka berjaya sepenuhnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha sudah dilakukan tetapi peraturan dan perundangan Amerika Syarikat (AS) menentukan mereka terus ditahan.

Beliau berkata, Malaysia menghantar tiga pegawai iaitu dua dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seorang dari Kementerian Dalam Negeri ke Guantanamo, Cuba atas permintaan Jabatan Negara AS dan sudah menemui tahanan terbabit.

"Kita sudah menawarkan supaya usaha deradikalisasi dilakukan terhadap tahanan Malaysia di sana.

"Kita yakin dengan operasi prosedur standard yang dibuat, ia akan membuka jalan bagi meletakkan tahanan terbabit supaya usaha deradikalisasi akan dapat menukar pendirian mereka walaupun laporan diperoleh menunjukkan pemikiran mereka tidak banyak berubah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Serbia, Ivica Dacic di sini, semalam.

Yang turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Ramlan Ibrahim.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas mengenai dua rakyat Malaysia yang ditahan di Guantanamo sejak hampir sedekad lalu, mungkin kekal dalam tahanan Jabatan Pertahanan AS (DOD).

DOD, dalam penilaian pada Mac, memutuskan bahawa Mohammed Bashir Lap dan Mohd Farik Amin, yang dipenjarakan di kemudahan tentera laut Amerika sejak September 2006 kerana menyerang kepentingan republik itu dan terbabit dalam pengeboman Bali pada 2002, mungkin menyambung semula kegiatan mereka jika dibebaskan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat Antarabangsa Menentang Keganasan (IMCT) di Bali, Indonesia baru-baru ini menerima cadangan Malaysia menubuhkan Sekretariat Deradikalisasi peringkat dunia bagi memerangi ancaman keganasan antarabangsa oleh kumpulan radikal dan pengganas.

Katanya, sekretariat itu akan diletakkan di bawah kelolaan Pusat Serantau INTERPOL (Polis Antarabangsa) di Singapura.

Ditanya mengenai pengecualian visa untuk rakyat Malaysia melawat AS, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak berhajat mengadakan perbincangan tetapi enam daripada tujuh syarat yang ditetapkan republik itu sudah dipenuhi.

"Syarat yang ketujuh ialah peruntukan bahawa kadar penolakan permohonan visa mestilah di bawah tiga peratus dan kita sudah mencapai tahap 3.34 peratus.

"Usaha sudah dilakukan terutama dengan menggunakan ejen pelancongan untuk mengadakan kempen kesedaran supaya kadar penolakan dapat dikurangkan," katanya.

Ditanya apakah perubahan presiden AS akan membantutkan usaha itu, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak nampak ada permasalahan kerana dasar tetap kekal walaupun ada pertukaran kepimpinan berikutan dasar itu ditetapkan oleh Jabatan Negara AS.

"Jika ini berlaku, Malaysia akan menjadi negara ke-39 yang akan diberikan program pengecualian visa kepada AS," katanya. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA