Wira Olimpik Selamat Tiba, Disambut 3,000 Peminat


SEPANG: Lebih kurang 3,000 peminat sukan tanah air dan para penaja menantikan ketibaan kumpulan kontinjen negara yang terakhir pulang dari Sukan Olimpik Rio yang melabuhkan tirai Ahad lalu.

Kontinjen negara seramai 24 atlet daripada sukan terjun dan badminton serta urusetia yang diketuai ketua kontinjen negara, Tan Sri Al-Amin Majid tiba pada jam 2.30 petang di Kompleks Bunga Raya menggunakan pesawat Emirates Airlines dari Dubai.

Sebelum itu pesawat yang turut membawa pemenang pingat perak, Datuk Lee Chong Wei menerima sambutan 'water sallute' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ke Kompleks Bunga Raya untuk menerima sambutan rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Pencapaian negara pada temasya empat tahun sekali ini adalah pencapaian terbaik apabila membawa pulang empat perak dan satu gangsa.

Semua peminat yang hadir bersemangat menanti kepulangan wira negara yang mengharumkan nama Malaysia di pentas Olimpik Rio 2016 dengan masing-masing bersorak dan menyanyi lagu patriotik. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA