WIEF 2016 Bakal Menyaksikan Lebih Banyak Inisiatif Usaha Sama

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyatakan keyakinan bahawa Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-12 tahun ini akan menyaksikan lebih banyak inisiatif usaha sama untuk memperkasa perniagaan dan memacu pewujudan kekayaan yang saksama.

Beliau berkata WIEF telah memainkan peranan penting dalam menghubungkan dan bekerjasama dengan pengaruh idea-idea inovatif serta penyelesaian praktikal.

Perdana Menteri turut menyatakan rasa gembira dengan pelbagai inisiatif yang diambil, termasuk untuk membangunkan bakat, menyokong wanita dalam perniagaan, menggalakkan industri halal, membangunkan kewangan Islam serta menggalakkan pelaburan langsung asing.

Beliau berkata Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menghadiri forum merupakan pihak yang membawa perubahan dan memacu enjin ekonomi.

“Saya berpendapat masih banyak ruang bagi kami di peringkat kepimpinan untuk membolehkan mereka menjadi lebih berdaya saing, dengan menyediakan akses yang lebih mudah kepada modal dan pasaran, serta memperkasa perniagaan mereka supaya bersama-sama boleh membina negara yang lebih baik untuk rakyat,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan, dalam kenyataan akhbar bersama yang dikeluarkan sempena forum itu.

“Bagi merealisasikan potensi ini, saya mengalu-alukan maklum balas yang membina dan penglibatan daripada para perwakilan di forum ini untuk membolehkan kita mengkaji secara berterusan dasar dan memastikan kita terus menyokong pertumbuhan inklusif dan perdagangan rentas sempadan,” kata beliau.

WIEF ke-12 menyasar untuk terus meneroka peranan penting PKS dan PMKS dalam menggerakkan pertumbuhan ekonomi di negara-negara di seluruh dunia, selaras dengan temanya “Decentralising Growth, Empowering Business”, (Menyebarluaskan Pertumbuhan, Memperkasakan Perniagaan).

Terdahulu, Najib juga berkongsi pandangan mengenai pendekatan Maqasid, yang beliau berkata adalah mengenai pertumbuhan yang saksama dan berpandangan ke hadapan.

“Ia untuk memudahkan keperluan komuniti dan perkongsian kekayaan, di samping menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti. Saya percaya pendekatan ini penting dalam menyelesaikan isu-isu semasa di pelbagai sektor,” kata beliau.

Mengakhiri kenyataannya, Najib berkata daripada apa yang beliau telah lihat dan dengar setakat ini, WIEF ke-12 adalah permulaan yang baik dan di landasan yang betul untuk mencatatkan kejayaan yang membanggakan sekali lagi. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA