Wee Kiong harap Chong Wei dapat tebus emas


RIO DE JANEIRO: Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong berharap Datuk Lee Chong Wei dapat menebus kekalahan mereka apabila turun berentap menentang Chen Long di final, malam ini.

Gandingan itu yang tewas kepada pasangan China, Fu Haifeng-Zhang Nan 21-16, 11-21, 21-23 malam tadi mengakui kemenangan jaguh perseorangan itu sedikit sebanyak akan mengubati kekecewaan mereka.

"Kami tidak pasti berapa lama mampu pulih daripada kekecewaan ini tetapi kami harap ia terubat sedikit sekiranya Chong Wei menang di final nanti

 "Kami berdoa beliau menang, sekali gus meraih pingat emas pertama untuk Malaysia," kata Wee Kiong.

Chong Wei menjadi pertaruhan terakhir untuk memenangi emas, sekali gus menamatkan kemarau 60 tahun negara di temasya terbesar dunia itu selepas Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan V Shem-Wee Kiong tewas di final masing-masing.

Pemain nombor satu dunia itu yang tewas di final Beijing 2008 dan London 2012 kepada Lin Dan dilihat mempunyai peluang terbaik berbuat demikian selepas menewaskan musuh tradisinya itu di separuh akhir semalam.


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA