Wanita Alberta Saman Pokemon Go Kerana Langgar Privasi


CALGARY: Tuntutan mahkamah difailkan bagi pihak seorang wanita Alberta terhadap firma pencipta permainan Pokemon Go, Niantic Inc di California, kerana beliau berhadapan tekanan pencerobohan kehidupan peribadinya.

Barbra-Lyn Schaeffer, pada Rabu berkata rumahnya yang terletak 160 kilometer ke timur laut Calgary dibanjiri pemain Pokemon Go sejak ia menjadi lokasi permainan itu.

Lokasi Pokemon adalah tempat pemain berkumpul dan bertarung untuk mengawal kawasan itu untuk kumpulan terpilih. Selalunya, ia membabitkan gereja hingga bangunan awam lain.

Di Massachusetts, Amerika Syarikat, rumah seorang lelaki turut menjadi lokasi Pokemon kerana ia adalah bekas tapak gereja.

Schaeffer berkata, pemain cuba merangkak melepasi pagar untuk masuk ke perkarangan rumahnya.

"Bagi saya, permainan ini baik. Anak saya bermain, cucu saya bermain tetapi jangan bermain di rumah saya," katanya.

Schaeffer berkata, ada pemain lain duduk di depan rumahnya sepanjang hari dan malam.

"Kami berpindah ke sini kerana inginkan suasana sunyi, bukan untuk orang memanjat pagar rumah saya. "Kami tidak mahu ada orang luar mengintip di luar tingkap. Sabtu lalu, ada pemain menggunakan dron ke perkarangan rumah untuk bermain," katanya. - AP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA