V.Shem-Wee Kiong Kejutkan Beregu Nombor 1 Dunia


RIO DE JANEIRO – Pasangan beregu utama negara Goh V.Shem-Tan Wee Kiong melakar kejutan ke atas beregu utama dunia Lee Yong Dae-Yoon Yeon Seong untuk mara ke separuh akhir acara beregu lelaki pada Sukan Olimpik Rio di sini, Isnin.

Beregu Malaysia itu mempamerkan permainan agresif dengan melakukan asakan untuk mencatatkan kemenangan 17-21, 21-18, 21-19 dalam masa 86 minit walaupun mencatat kemenangan kedua dalam lapan pertemuan menentang beregu dari Korea Selatan itu.

Pertarungan sengit itu menyaksikan beregu Korea membuat percubaan terakhir selepas ketinggalan 13-18 dan merapatkan jurang kepada 19-20 sebelum gandingan Malaysia itu melengkapkan kemenangan untuk ke separuh akhir esok.

V Shem-Wee Kiong akan bertemu Chai Biao-Hong Wei selepas pasangan beregu dari China itu menewaskan pasangan beregu dari Rusia, Valdimir Inaov-Ivan Sozonov 21-13, 16-21, 21-16 dalam masa 56 minit.

Kemenangan beregu negara di pentas suku akhir mencerahkan peluang untuk pasangan itu merangkul pingat.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, beregu nombor empat dunia, Fu Haifeng-Zhang Nan akan berentap dengan beregu dari Britain, Marcus Ellis-Chris Langridge.

Beregu China itu, yang tewas kepada Malaysia dengan rubber set dalam aksi kumpulan, menundukkan gandingan beregu nombor tiga dunia, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang dari Korea Selatan 11-21, 21-18, 24-22 dalam perlawanan yang berlarutan selama 73 minit,

Beregu dari Britain melangkah ke slot separuh akhir selepas berjuang menewaskan pasangan dari Jepun, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa 21-19, 21-17 dalam masa 65 minit di suku akhir.

Sementara itu, Wee Kiong berkata mereka akan turun habis-habisan pada aksi separuh akhir selepas mendapat suntikan semangat menewaskan gandingan Korea itu.

“Kami mampu menghadapi tekanan dan melakukan banyak asakan pada set penentuan. Kami yakin untuk mara seterusnya,” katanya.

Bagaimanapun, pasangan beregu wanita negara Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei gagal melakar kejutan untuk ke separuh akhir selepas tumpas kepada pasangan nombor satu dunia, Misaki Matsutomo-Ayaka Akahashi.

Pasangan beregu dari Jepun itu mengambil masa 76 minit untuk melengkapkan kemenangan 21-16, 18-21 dan 21-9.

Bagaimanapun, ini kali pertama beregu negara menang satu set daripada perlawanan selepas mengharungi lapan pertemuan antara mereka.

“Kami tidak mampu menghadapi tekanan daripada gandingan Jepun dalam set penentuan,” kata Vivian selepas perlawanan itu. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA