#Video : Jepun Janjikan Olimpik Terbaik 2020

video

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe melakukan kejutan yang menggembirakan apabila muncul menyerupai Super Mario, watak permainan video paling popular 1990-an pada upacara penutup Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil awal pagi semalam.

Kemunculan istimewa dilakukan Abe turut memberi pembayang awal terhadap kemeriahan yang akan ditawarkan Jepun menjelang penganjuran Sukan Olimpik 2020 di bandar raya Tokyo bermula empat tahun dari sekarang.

Sebelum melakukan kemunculan di pentas penutup Olimpik 2016, orang ramai di Stadium Maracana terlebih dahulu dipertontonkan sebuah filem pendek berdurasi selama dua minit yang memuatkan visual mengenai keindahan serta kemudahan pengangkutan moden di sekitar Tokyo.

Turut ditayangkan ialah watak-watak kartun serta permainan video popular era 1990-an seperti Pac Man, Hello Kitty dan Doraemon sebelum Abe yang memakai topi merah menyerupai Super Mario muncul di atas pentas.


Selepas gimik Sukan O­limpik 2020 di atas pentas penutup Olimpik 2016, Abe menyeru rakyat serta atlet Jepun berusaha menjadikan temasya yang akan diadakan di negara mereka nanti sebagai antara terbaik.

“Kerajaan Jepun akan me­lakukan yang terbaik. Atlet serta rakyat Jepun juga diseru teruskan bekerja dengan gigih supaya O­limpik 2020 akan menjadi yang terbaik dan paling diingati.

“Tunjukkan ke­sungguhan kita mengharungi semua cabaran dan kongsi pengalaman kita bersama masyarakat dunia mengenai pe­ngalaman-pengalaman O­limpik yang pernah kita lalui.

“Para atlet Jepun sudah tentu akan menjadi inspirasi kepada rakyat Jepun apabila mereka pulang nanti. Ia juga akan menjadi inspirasi kepada kami untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2020,” kata Abe.

Sebagai rekod, Jepun menduduki tempat keenam dalam senarai kutipan pi­ngat Olimpik 2016 dengan 12 emas, pencapaian terbaik yang pernah dinikmati negara itu sejak 2004. – Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA