Usaha Mencari Bakat Baharu Diperkasa

Foto The Star
KUCHING: Biarpun Sarawak muncul juara kali ke-12 Sukan Paralimpiad, usaha mencari bakat baharu akan dijalankan secara berterusan untuk memastikan lebih ramai atlet paralimpik dapat dilahirkan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah berkata, usaha itu yang turut merangkumi mengenalpasti jenis sukan untuk atlet akan diberi perhatian agar negeri ini dapat terus mendominasi sukan untuk golongan istimewa sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Malah menurutnya, bedah siasat akan dijalankan selepas ini untuk menilai prestasi semasa Sukan Paralimpiad Ke-18 dan pada masa sama mencari kelemahan untuk ditambah baik pada masa akan datang.

"Apa yang paling penting, kita merancang sukan bersesuaian dengan atlet paralimpik. Bakat baharu akan terus dicari dan digilap untuk menjadi juara," katanya.

Lebih membanggakan lagi dua atlet Sarawak layak ke Sukan Paralimpik Rio 2016 iaitu Jamery Siga dalam sukan renang dan Jong Yee Khie (angkat berat).

Beliau turut berterima kasih kepada kepimpinan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang sentiasa memberi sokongan kepada atlet paralimpik negeri.

Mengulas mengenai kejayaan Sarawak muncul juara, Fatimah berkata, semua pihak termasuk atlet, jurulatih dan pengurus pasukan bekerja keras untuk membolehkan Sarawak meraih 84 pingat emas, 63 (perak) dan 73 (gangsa) iaitu melebihi sasaran ditetapkan.

"Semangat juang atlet paralimpiad sangat tinggi dan mereka mempunyai impian serta kepercayaan amat jelas untuk mengalahkan lawan masing-masing.

"Mereka mahu menempa kejayaan bukan sahaja untuk diri sendiri malah negeri ini dan Malaysia," ujarnya. -Sarawakiana.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA