Usaha Keras Mampu Membuahkan Kejayaan



Suatu masa dahulu, Bill Gates pernah menyatakan bahawa salah satu perniagaan yang akan berkembang dari semasa ke semasa adalah telekomunikasi. Terbukti apa yang dinyatakan oleh Bill Gates memang bertepatan memandangkan telekomunikasi pada masa kini adalah keperluan manusia sejagat.

Semakin ramai yang menceburi perniagaan tersebut walaupun hanya sebagai penjual kad tambah nilai prabayar. Malah ia telah menjadi satu pendapatan tetap bagi yang benar-benar aktif untuk berniaga.

Hussen (bukan nama sebenar), 27 tahun, telah menceburi perniagaan kad tambah nilai selama 7 tahun secara kecil-kecilan.

"Pada mulanya saya jual kad dengan jumlah yang kecil memandangkan saya mempunyai modal yang kecil dan terhad.

"Waktu itu saya jual dalam 100 keping kad sehari," katanya.

Beliau berkata, semakin hari permintaan kad tambah nilai semakin mendapat sambutan dan beliau terus menambah kuantiti kad walaupun terpaksa menggunakan jumlah jualan harian tanpa dapat menyimpan.

"Hasil daripada usaha sekian lama saya bersyukur dapat mengembangkan perniagaan,"

"Hari ini saya sudah memiliki dua buah kedai menjual alat telekomunikasi di samping masih mengekalkan penjualan kad tambah nilai prabayar telekomunikasi," ujarnya.

Beliau menambah bahawa beliau pernah juga ditawar untuk menjalani perniagaan tambah nilai melalui MLM tetapi beliau lebih berminat dengan sebuah perniagaan tetap seperti sekarang.

"Apa yang penting, mengamalkan sikap jujur dan ikhlas serta bekerja keras tanpa kenal erti mengalah insyaAllah akan mampu berjaya jika di izinkan Tuhan.

"Pengurusan kewangan yang baik juga turut menyumbang kepada kejayaan sebuah perniagaan," tambahnya.

Beliau yang mengakhiri temubualnya bersama Sarawakiana turut menasihati agar lebih ramai bumiputera menceburi perniagaan sebegini kerana ia dapat dijadikan karier yang tetap dan mampu meningkatkan sosio ekonomi keluarga serta mampu bersaing secara sihat kepada peniaga bukan bumiputera. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA