UPUIH Kumpul Data Usahawan Sarawak


KUCHING: Unit Pembangunan Usahawan dan Industri Halal (UPUIH) kini dalam proses mengumpul data serta maklumat untuk mengenalpasti individu yang terlibat dalam bidang keusahawanan di negeri ini sama ada kotej, kecil atau sederhana.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, antara usaha UPUIH termasuk menjalankan pendaftaran usahawan secara berperingkat-peringkat merangkumi usahawan yang berniaga secara kecil-kecilan, tanpa lesen atau permit dan separuh masa dalam bentuk primer.

Selain data primer menurutnya, data sekunder dari agensi-agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam bidang keusahawanan di negeri ini juga dikumpul oleh konsultan dilantik.

"Kedua-dua set data ini akan dimasukkan ke dalam sistem pendaftaran usahawan bagi mengenal pasti pemain-pemain industri yang terlibat dalam pelbagai bidang keusahawanan seperti penghasilan produk dan penyediaan perkhidmatan.

"Hasil daripada pendaftaran keusahawanan ini, kerajaan secara langsung akan dapat membuat pelan perancangan pembangunan keusahawanan yang lebih strategik dan berkesan secara menyeluruh bagi kepentingan usahawan di Sarawak," katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara UPUIH dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini, semalam.

UPUIH diwakili pengarahnya Samat Junai manakala SSM diwakili Datuk Zahrah Abdul Wahab Fenner.

Kerjasama itu menyentuh beberapa aspek seperti perkongsian kepakaran dan latihan, aktiviti berasaskan penyelidikan dan penggunaan kemudahan dan fasiliti. -Sarawakiana.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA