Tujuh Persetujuan Dicapai Secara Baik Dalam Mesyuarat Antara Petronas Dan Sarawak - Adenan



KUCHING : Tujuh persetujuan berhubung pengambilan lebih ramai anak tempatan Sarawak dalam Petronas dicapai secara baik dalam mesyuarat antara kerajaan negeri Sarawak dan Petronas di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya semalam.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Wan Zulkifli Wan Ariffin juga menghadiri mesyuarat tersebut.

Ketika ditemui pada sidang media di sini hari ini bersama timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Gani, Adenan berkata persetujuan pertama yang dicapai ialah Petronas bersetuju supaya seorang anak Sarawak menjadi ahli Lembaga Pengarahnya.

"Saya mencadangkan Mohamad Morshidi mewakili Sarawak. Beliau secara kebetulan pernah berkhidmat dengan Petronas dan beliau akan melaporkan kepada kerajaan negeri setiap enam bulan atau bila-bila masa yang perlu," katanya.

Persetujuan yang kedua, kata Adenan ialah 192 jawatan yang sekarang kosong akan diiklankan dalam akhbar-akhbar tempatan dan diisi oleh anak tempatan Sarawak.

"Petronas akan berunding dengan kerajaan negeri jika tiada anak tempatan Sarawak yang sesuai untuk mengisi mana-mana jawatan tersebut.

"Persetujuan ketiga ialah ia akan menyediakan sehingga 50 tempat untuk anak tempatan Sarawak untuk melanjutkan pengajian mahasiswa di Universiti Teknologi PETRONAS di Perak," katanya.

Beliau berkata, bagi persetujuan keempat, Petronas akan memperhebatkan latihan teknikal serta mengam,bil lebih ramai anak Sarawak di pusat latihannya di seluruh negara.

Mengenai persetujuan kelima, Ketua Menteri berkata, Petronas telah membayangkan komitmennya untuk menyokong dua industri petrokimia yang sekarang di bawah rundingan peringkat akhir.

"Ia juga akan menyokong industri petrokimia dan industri hiliran yang lain selepas kajian bersama mengenai industri petrokimia dengan kerajaan negeri siap," kata beliau.

"Mengenai persetujuan keenam, Petronas bersama kerajaan persekutuan juga akan mempertimbangkan hasrat Kerajaan Sarawak untuk menyertai Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) supaya Sarawak boleh mendapat manfaat daripada kontrak tersebut," katanya.

"Persetujuan akhir sekali, Petronas bersetuju untuk mengambil lebih ramai anak Sarawak bagi mengisi jawatan bukan eksekutif hingga ke peringkat pengurusan.

"Petronas bersetuju untuk meningkatkan bilangan anak tempatan Sarawak di peringkat pengurusan daripada 33 peratus sekarang kepada 60 peratus.

"Ia bersetuju untuk meningkatkan kakitangan di peringkat pengurusan daripada 41 peratus sekarang kepada 60 peratus dan di peringkat eksekutif daripada 48 peratus sekarang kepada 75 peratus," katanya.

Adenan berkata untuk jawatan bukan eksekutif, bilangan kakitangan akan dikekalkan 95 peratus.

"Inilah adalah pelan kerja yang dikemukakan oleh Petronas untuk meningkatkan jumlah pekerja anak Sarawak dan angka itu akan dicapai menjelang 2020," kata beliau.

Beliau berkata pada masa ini, 3,880 daripada 5,190 kakitangan Petronas di negeri ini terdiri daripada anak jati Sarawak.

Adenan berkata Tan Sri Morshidi akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kecil tidak lama lagi untuk mengkaji pengeluaran permi kerja.

"Kerajaan negeri akan mengkaji semua 586 jawatan yang sekarang menunggu kelulusan bagi permi kerja bagi memastikan anak tempatan Sarawak diutamakan untuk mengisi jawatan-jawatan itu.

"Berhubung dengan royalti minyak dan perkara lain, ia akan dibincangkan kemudian," kata Adenan dan menambah beliau berpuas hati dengan persetujuan yang dicapai setakat ini.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA