Trump sifatkan pendatang sebagai haiwan

WASHINGTON: Calon rasmi Republikan untuk jawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, membuat serangan terbaharu ke atas pendatang, dengan menggelar mereka sebagai 'haiwan'.

Katanya, rakyat Somalia dan pelarian dari "negara pengganas" perlu dilarang memasuki negara itu.

"Kita membiarkan mereka masuk dari negara pengganas, ia sepatutnya tidak dibenarkan kerana kita tidak boleh menapis mereka.

"Kita tidak tahu siapa mereka. Ini mungkin muslihat musuh mengalahkan kita dari dalam. Amalan ini perlu dihentikan," katanya pada perhimpunan di Portland, Maine.

Beliau mengulangi amaran pengganas termasuk anggota IS akan menyusup masuk ke Amerika sebagai pelarian.

Menjadikan pendatang Somalia sebagai contoh, Trump berkata ribuan pelarian membanjiri Maine dan negeri lain di Amerika serta menimbulkan masalah.

Katanya, usaha menempatkan semula pelarian Somalia, kebanyakannya di Minnesota, "mencetuskan kesan yang tidak diingini yang mewujudkan penempatan pendatang dengan kadar pengangguran tinggi...

"Ia menekan kewangan negeri, jaringan keselamatan dan membuka peluang merekrut sasaran bagi IS," katanya.

Beliau kemudian menyenaraikan beberapa pendatang, kebanyakkan dari negara majoriti Islam seperti Afghanistan, Iraq, Maghribi, Pakistan, Filipina, Somalia, Syria, Uzbekistan dan Yaman, yang ditahan kerana melakukan atau mengancam melakukan serangan ganas, mengajar cara membuat bom kepada rekrut atau menyokong kumpulan pengganas.

"Kita berurusan dengan haiwan," katanya. - AFP/BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA