Transformasi Penanaman Nanas Tingkatkan Pendapatan Pekebun Kecil


KOTA SAMARAHAN : Program banci tanaman nanas Sarawak merupakan program yang julung kali diadakan di Sarawak yang melibatkan 719 pengusaha nanas seluruh negeri ini yang akan bermula pada 8 Ogos sehingga 30 September 2016.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Datuk Samsolbari Jamali mengharap program seumpama ini mampu memberi impak yang besar kepada industri nanas Sarawak sekaligus menyokong dasar-dasar pembangunan industri yang telah dirangka oleh kerajaan dan LPNM.

"Kerajaan telah membentuk Dasar Agromakanan Negara (DAN) dan menetapkan sasaran bagi tambahan keluasan tanaman nanas sebanyak 7,120 hektar menjelang tahun 2020.

"Sehubungan itu , pembangunan dan pengukuhan tanaman nanas di negeri ini amat diperlukan agar membantu keperluan bagi memenuhi permintaan pasaran dunia dengan tambahan 100 kontena sebulan," ucapnya dalam Majlis Perasmian Pelancran Program Banci Tanaman Nanas Di Sarawak 2016 di Dewan Suarah Kota Samarahan sebentar tadi.

Beliau menyatakan bahawa keupayaan pengembangan industri nanas di Sarawak akan membantu dalam peningkatan pekebun kecil dari RM1,500 kepada RM3,500 sebulan.

"Malah pekebun dapat memperolehi pendapatan sampingan hasil penjualan sisa ladang yang dijangka berjumlah RM4,500 per ekar.
"Program pembangunan nanas MD2 juga merupakan transformasi pengusaha nanas kepada usahawan nanas yang dimulakan pelaksanaan Projek Pembiakan Benih MD2 pada tahun 2012 bagi memenuhi bekalan benih sehingga tahun 2020," ujarnya.

Beliau turut menerangkan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) 2016-2020 LPNM telah memohon sebanyak 7 projek bagi tempoh 5 tahun pelaksanaan dengan nilai yang telah diperakukan oleh EPU dan MOA sebanyak RM102.6 juta yang mana Projek Pembangunan Pengeluaran Tanaman Nanas di Sarawak telah diperuntukan sebanyak RM25 juta sehingga tahun 2020.

Beliau turut menyeru agar golongan muda perlu melibatkan dalam tranformasi sektor penanaman nanas dengan matlamat untuk menjadikan sektor nanas sebagai salah satu bidang pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan dengan pengurusan lebih maju dan moden.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Ahli Parlimen Kota Samarahan Puan Rubiah Wang.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA