Transformasi Bas Awam Di Kuching Pada Peringkat Akhir


PUTRAJAYA: Persiapan bagi membolehkan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) dilaksanakan di Kuching kini dalam fasa terakhir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersama agensi-agensi berkaitan termasuk daripada Kerajaan Negeri sedang memuktamadkan proses tersebut.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri juga telah secara dasarnya bersetuju agar Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak (MIDT) dilantik sebagai agensi pelaksana bagi program SBST tersebut.

Nancy berkata dengan perlantikan itu, segala kekangan teknikal termasuk penyaluran peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dapat diselesaikan.

“Program SBST yang merupakan projek perintis bagi menambahbaik perkhidmatan bas henti-henti di Kuching telah dirancang pelaksanaannya pada penghujung tahun yang lalu.

“Pelaksanaannya bagaimanapun mengambil masa lama daripada disasarkan bagi mengharmonikan prosedur dan tatacara yang membabitkan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri,” katanya

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat oleh delegasi daripada Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak (MIDT) yang diketuai oleh Setiausaha Tetap MIDT, Hj Safri Zainuddin yang turut disertai oleh Persatuan Syarikat Pengangkutan Bas Sarawak (SBTCA) di Putrajaya hari ini.

Turut hadir menyertai perbincangan dalam kunjungan hormat tersebut ialah wakil daripada Bahagian Pembangunan, Jabatan Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD.

Kuching merupakan satu daripada lima bandar di seluruh negara yang dipilih sebagai perintis bagi pelaksanaan program SBST.

Liputan yang disasarkan akan turut melibatkan laluan sehingga ke Samarahan.

Program SBST ini diyakini akan dapat mengatasi masalah kekurangan liputan dan kesalinghubungan perkhidmatan bas henti-henti di bandar dan luar bandar. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA